TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tiada keperluan letak jawatan, kuasa pelantikan hak mutlak PM- Ahmad Zahid

By
|
Kongsi
image

CYBERJAYA, 21 Julai — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada keperluan untuk mana-mana menteri, timbalan menteri atau pengerusi badan berkanun meletakkan jawatan susulan dakwaan menyerang 'rakan' dalam Kerajaan Perpaduan.

Ahmad Zahid berkata, ini kerana kuasa menentukan kedudukan mereka terletak sepenuhnya di tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, pelantikan pemegang jawatan berkenaan merupakan hak mutlak Perdana Menteri dan sebarang tindakan hanya boleh diputuskan oleh beliau berdasarkan maklumat yang diperoleh.

“Kuasa pelantikan itu adalah hak mutlak Perdana Menteri. Jadi, kalau Perdana Menteri mengesyaki ataupun dapat maklumat yang benar, itu adalah kuasa mutlak Perdana Menteri dan tak perlu sesiapapun meletakkan jawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan sambutan Hari Imigresen Tahun 2026, di sini hari ini.

Ahmad Zahid mengulas saranan Perdana Menteri supaya mana-mana menteri, timbalan menteri atau pengerusi badan berkanun yang menyerang sesama rakan dalam Kerajaan Perpaduan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) melepaskan jawatan masing-masing.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menekankan bahawa perkara berkenaan merupakan prerogatif Perdana Menteri.

“Ia kuasa Prerogatif Perdana Menteri,” katanya.

Terdahulu, Anwar dilaporkan mengingatkan semua anggota pentadbiran kerajaan dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan agar tidak menggunakan kedudukan mereka untuk menyerang parti atau pemimpin yang menjadi rakan dalam Kerajaan Perpaduan, terutama dalam kempen PRN Negeri Sembilan.

Menurut Perdana Menteri, mana-mana pihak yang memilih untuk berbuat demikian sewajarnya bersedia untuk melepaskan jawatan kerana tindakan itu bercanggah dengan semangat kerjasama yang dipersetujui dalam kerajaan.

+ - reset