TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tamim Dahari mengaku tidak bersalah rosakkan simbol keagamaan penganut Hindu di Langkawi

By
|
Kongsi
image

LANGKAWI, 21 Julai — Aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan merosakkan objek yang menjadi simbol keagamaan penganut agama Hindu pada Mac lalu.

Pertuduhan dibacakan terhadap Tamim Dahri, 34, di hadapan Majistret Hemy Annerina Haja Mydin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merosakkan tombak cabang tiga atau soolam yang merupakan simbol keagamaan penganut agama Hindu di tapak lama Kuil Sri Muniswarar, Selat Panchor, Kuah di sini antara jam 3.30 petang hingga 6.30 petang, 8 Mac lalu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dengan pengetahuan bahawa perbuatan memijak objek berkenaan adalah menghina agama Hindu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ain Nur Sofea Noridan, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Hanif Hassan.

Pada prosiding tersebut, pihak pendakwaan memohon agar tiada jaminan diberikan atas alasan tertuduh mempunyai kecenderungan melarikan diri menggunakan laluan tidak sah memandangkan tiada rekod pergerakan tertuduh masuk semula ke negara ini.

Walau bagaimanapun, peguam tertuduh menyangkal hujah tersebut dan menjelaskan bahawa tertuduh tidak mempunyai pilihan berikutan pasportnya telah dibatalkan susulan waran tangkap yang dikeluarkan selepas pertuduhan pertama pada 17 Mac lalu. Pihak pembelaan turut menegaskan bahawa pertuduhan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan merupakan kesalahan yang boleh dijamin.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua orang penjamin, berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu.

Tertuduh difahamkan membayar jaminan berkenaan dan mahkamah menetapkan 23 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

+ - reset