TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Saya mahu minta maaf kepada anak, keluarga' - Cikgu tuisyen dipenjara 105 tahun, 70 sebatan rogol anak kandung berulang kali

By
|
Kongsi
image

TAWAU 21 Julai - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 105 tahun dan 70 kali sebatan terhadap seorang lelaki atas tujuh pertuduhan merogol anak sulungnya antara Disember 2025 hingga 19 Mac lalu.

Menurut laporan Berita Harian, Hakim Ahmad Faizadh Yahaya menjatuhkan hukuman itu ke atas lelaki berusia 53 tahun yang juga seorang guru tuisyen dekat Lahad Datu selepas mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan dikemukakan secara berasingan pada prosiding sebutan semula, hari ini.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan dan kesemua hukuman penjara itu berjalan secara berasingan dengan pelaksanaan jumlah sebatan adalah terhad 24 kali sebatan mengambil kira peruntukan Seksyen 288 (1) Kanun Tatacara Jenayah. 

Pada prosiding 6 Mei lalu, tertuduh mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan merogol anak perempuan sulungnya yang kini berusia 25 tahun di beberapa hotel di sini, bermula Disember tahun lalu dengan kejadian terakhir pada 18 dan 19 Mac lalu.

Bagi semua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan. 

Terdahulu dalam rayuannya, tertuduh berkata beliau berasa sangat malu dan takut dengan apa yang berlaku serta menerima hukuman yang bakal dijatuhkan terhadapnya.

Beliau turut menyatakan keinsafan, mengakui kesilapan yang dilakukan dan memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan.

"Saya benar-benar bertaubat dan sangat menyesal. Mudah-mudahan saya menjadi orang terakhir yang melakukan perkara seperti ini selain berharap diberi peluang sekiranya dibebaskan kelak untuk bertemu anak-anak serta keluarga bagi memohon maaf kepada mereka," katanya. 

Bagaimanapun pihak Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin, bersama Wildan Firdaus Ahmad Fazly berhujah bahawa terdapat beberapa faktor pemberat yang mewajarkan hukuman maksimum terhadap tertuduh, termasuk sifat kesalahan yang dilakukan yang disifatkan antara kesalahan seksual paling serius kerana melibatkan rogol terhadap anak kandung sendiri.

Menurutnya perbuatan tertuduh bukan sahaja mencabuli maruah mangsa, malah memusnahkan institusi kekeluargaan yang sepatutnya menjadi tempat perlindungan seorang anak. 

Pendakwaan turut berhujah dalam kes ini kejadian rogol bermula sejak mangsa berusia 16 tahun lagi dan terdapat unsur perancangan apabila tertuduh mendapatkan jadual kerja mangsa, meminta mangsa menempah bilik hotel dan sanggup bergerak dari Lahad Datu ke Tawau untuk melakukan perbuatan berkenaan.

Pendakwaan turut menegaskan faktor hubungan amanah antara bapa dan anak sebagai elemen pemberat utama, dengan menyatakan tertuduh sepatutnya melindungi serta menjaga kebajikan mangsa, namun sebaliknya mengkhianati kepercayaan tersebut demi memenuhi kehendak nafsunya.

Mahkamah turut diberitahu tertuduh sebelum ini telah mengaku salah terhadap 11 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Lahad Datu mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan dan dijatuhi hukuman penjara 15 tahun serta 10 sebatan bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan 165 tahun penjara dan 110 sebatan.

Dengan keputusan Mahkamah Sesyen Tawau hari ini, tertuduh kini berdepan keseluruhan hukuman berjumlah 280 tahun penjara dan 180 sebatan selepas mengambil kira hukuman yang dijatuhkan bagi kes terdahulu di Mahkamah Sesyen Lahad Datu.

+ - reset