TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PETRA serah enam projek bernilai RM83.46 juta kepada Selangor, 25 lagi diluluskan bawah RMK-13

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM, 21 Julai — Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah menyerahkan enam projek siap dengan kos keseluruhan berjumlah RM83.46 juta kepada Kerajaan Negeri Selangor.

PETRA dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa penyerahan tersebut merangkumi tiga projek kawalan hakisan pantai, satu projek pemuliharaan pantai, serta dua projek mitigasi banjir sungai yang bertujuan mengukuhkan perlindungan daripada risiko banjir dan hakisan demi keselamatan rakyat serta harta benda.

Majlis penyerahan berkenaan disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ir. Mohamad Radzi Abdul Talib kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Sesi tersebut turut disaksikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bersama Ketua Setiausaha PETRA, Datuk Seri Mad Zaidi Mohd Karli yang mewakili Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Tiga Projek Kawalan Hakisan Pantai (RM9.26 Juta)

Tiga projek kawalan hakisan pantai di Sabak Bernam dan Kuala Selangor telah disiapkan bagi memperkukuh struktur perlindungan pesisir pantai:

  • Sungai Haji Dorani (Sabak Bernam): Mula dibina pada 20 Jun 2024 dan siap sepenuhnya pada 19 Januari 2026.

  • Pantai Batu 23 (Sabak Bernam): Bermula pada 20 Jun 2025 dan siap pada 20 Mei 2026.

  • Kampung Sungai Janggut & Kampung Tok Adam (Kuala Selangor): Mula dibina pada 21 Jun 2024 dan siap pada 21 Mei 2026.

Projek-projek ini dijangka dapat mengurangkan ancaman limpahan air laut terutamanya sewaktu fenomena air pasang besar, sekali gus melindungi kawasan penempatan dan pertanian penduduk.

Pemuliharaan Pantai Morib (RM60.50 Juta)

Kerajaan Persekutuan turut menyiapkan Projek Pemuliharaan Pantai Morib yang melibatkan kos RM60.50 juta. Pelaksanaannya yang bermula dari 1 September 2023 hingga 1 Julai 2026 ini bakal memberi manfaat secara langsung kepada lebih 3,000 penduduk setempat menerusi pengurangan risiko hakisan pantai.

Dua Projek Mitigasi Banjir Sungai (RM13.70 Juta)

Selain kawasan pantai, dua projek sungai turut diserahkan bagi mengurangkan risiko banjir dan hakisan tebing:

  1. Pengukuhan Tebing Sungai Penchala (RM4.3 Juta): Melibatkan kawasan berhampiran Avon, Jalan 51A/219, Petaling Jaya bagi mengurangkan risiko runtuhan tebing sepanjang 10 kilometer dan melindungi 5,000 penduduk di sekitar lembangan sungai.

  2. Menaik Taraf Sungai Kemensah (RM9.4 Juta): Projek reka dan bina di Mukim Hulu Kelang, Gombak melibatkan pengukuhan tebing dan peningkatan kapasiti aliran sungai sepanjang 1.6 kilometer untuk menstabilkan tebing serta mengelakkan kerosakan harta benda 200 buah premis dan infrastruktur awam.

RM3.639 Bilion Diluluskan bawah RMK-13

Dalam pada itu, PETRA turut mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah meluluskan sebanyak 25 projek di bawah Rolling Plan Pertama Tahun 2026 RMK-13 bagi Negeri Selangor dengan kos keseluruhan bernilai RM3.639 bilion.

Jumlah tersebut merangkumi 16 projek sambungan dan sembilan projek baharu yang merangkumi skop tebatan banjir, naiktaraf sistem saliran, pemulihan koridor sungai, hakisan pantai, serta infrastruktur mekanikal dan elektrikal.

Usaha ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh daya tahan Selangor terhadap bencana alam serta menyokong pembangunan sosioekonomi yang mampan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

+ - reset