TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Cubaan seludup ganja RM19.82 juta gagal, 4 lelaki termasuk 3 wanita dicekup di KLIA

By
|
Kongsi
image

Oleh AZIM SAID

SHAH ALAM 21 Julai - Cubaan sindiket pengedaran dadah antarabangsa menyeludup masuk ganja melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) gagal selepas polis menumpaskan enam aktiviti pengedaran dadah secara berasingan dan menahan 7 individu termasuk empat lelaki serta tiga wanita.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi yang dijalankan berlangsung dari 11 hingga 17 Julai 2026.

Beliau berkata, kesemua tangkapan terbabit dipercayai berperanan sebagai keldai dadah yang menerima upah untuk membawa bagasi mengandungi dadah berkenaan.

"Enam kes ini melibatkan satu wanita tempatan, empat lelaki warga asing serta dua wanita warga asing yang dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian pengedaran dadah," katanya dalam sidang media hari ini.

Dalam kes pertama pada 11 Julai, polis bantuan KLIA mengesan dua bagasi mencurigakan ketika melalui mesin imbasan di terminal sebelum menahan seorang wanita tempatan berusia 37 tahun.

Pemeriksaan terhadap bagasi itu menemukan 60 bungkusan plastik berisi ketulan mampat disyaki ganja seberat kira-kira 36 kilogram bernilai RM2.88 juta. Turut disita wang tunai pelbagai mata wang yang dipercayai hasil aktiviti pengedaran dadah.

Bagi kes kedua pada 13 Julai, dua lelaki warga asing berusia 34 dan 48 tahun ditahan selepas empat bagasi mencurigakan diperiksa, membawa kepada penemuan 80 bungkusan ganja dengan berat keseluruhan 82.7 kilogram bernilai kira-kira RM6.62 juta. 

Pada hari sama, polis turut menahan seorang wanita warga asing berusia 25 tahun yang berada di ruang menunggu pelepasan penerbangan selepas pemeriksaan terhadap dua bagasi miliknya menemukan 68 bungkusan ganja seberat 34 kilogram bernilai kira-kira RM2.72 juta.

Kes keempat pula menyaksikan seorang wanita warga asing berusia 24 tahun ditahan selepas dua bagasi miliknya diperiksa dan polis menemukan 65 bungkusan plastik disyaki ganja dengan anggaran berat 32.5 kilogram. 

Sementara itu, pada 14 Julai, seorang lelaki warga asing berusia 25 tahun ditahan selepas polis menemui 60 bungkusan ganja seberat 31.2 kilogram bernilai kira-kira RM2.5 juta dalam bagasinya. 

Kes terakhir pada 17 Julai membabitkan seorang lelaki warga asing berusia 55 tahun yang ditahan selepas dua bagasi miliknya diperiksa dan menemukan 60 bungkusan ganja seberat 31.4 kilogram bernilai kira-kira RM2.51 juta. 

Polis turut menyita dua rantai berwarna kekuningan bernilai RM3,000 serta wang tunai tempatan dan asing yang dipercayai hasil kegiatan pengedaran dadah. 

Menurut beliau, keseluruhan operasi itu membawa kepada rampasan 247.8 kilogram ganja bernilai RM19.82 juta yang dianggarkan mampu menampung penggunaan kira-kira 826,000 individu berdasarkan anggaran 0.3 gram bagi setiap pengguna. 

Beliau berkata, semakan mendapati semua tangkapan tidak mempunyai rekod kesalahan di Malaysia manakala suspek warga asing memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan semakan lanjut sedang dibuat bersama Jabatan Imigresen Malaysia.

"Kesemua tangkapan merupakan keldai dadah dan menerima upah yang berbeza mengikut mata wang negara asal mereka. Hanya seorang suspek merupakan pengulang kesalahan, manakala yang lain dipercayai cubaan kali pertama," katanya.

Kesemua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

+ - reset