TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ketua balai di Kelantan digantung kerja sementara, disyaki terima rasuah RM500 kes lindung warga asing

By
|
Kongsi
image

 

KOTA BHARU, 21 Julai – Ketua balai polis berpangkat sarjan mejar yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan menerima rasuah RM500 digantung kerja sementara bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, tindakan itu diambil susulan siasatan SPRM, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menjalankan siasatan tatatertib secara selari menerusi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

Beliau berkata, proses menggantung tugas pegawai terbabit sedang dilaksanakan bagi memastikan siasatan berjalan lancar.

"Kes itu masih dalam siasatan SPRM. Jadi kita akan gantung kerja dahulu.

"Pada masa sama, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) turut menjalankan siasatan tatatertib secara selari dengan siasatan SPRM.

"Proses menggantung kerja itu sedang dilaksanakan sementara siasatan diteruskan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan seorang ketua balai polis direman selama tujuh hari sehingga 26 Julai selepas disyaki menerima rasuah RM500 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap seorang warga asing.

Perintah reman terhadap suspek berusia 41 tahun itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Kota Bharu mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selepas menerima permohonan SPRM.

Menurut sumber, suspek dipercayai menerima wang rasuah daripada seorang warga asing yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap individu berkenaan.

Mohd Yusoff berkata, sebarang tindakan lanjut terhadap pegawai terbabit akan ditentukan berdasarkan hasil siasatan SPRM dan siasatan tatatertib yang sedang dijalankan.

"Tindakan lanjut bergantung kepada hasil siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa," katanya.

+ - reset