Berita Berita
PAS desak Anwar letak jawatan, Pengerusi KWAP direhatkan susulan kerugian pelaburan eFishery
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan, selain mendesak Pengerusi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) direhatkan sementara siasatan dijalankan susulan kerugian pelaburan berjumlah RM163.4 juta dalam syarikat eFishery.
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, kenyataan Perdana Menteri di Dewan Negara yang hanya menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan adalah tidak memadai.
Menurut beliau, rakyat mahu mengetahui pihak yang meluluskan pelaburan berkenaan serta bagaimana proses tadbir urus KWAP boleh gagal sehingga dana persaraan negara terdedah kepada penipuan.
"Rakyat tidak hanya mahukan siasatan, tetapi mahu mengetahui siapa yang bertanggungjawab meluluskan pelaburan tersebut dan bagaimana proses tadbir urus KWAP boleh gagal sehingga dana rakyat terdedah kepada penipuan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Afnan berkata, alasan bahawa KWAP masih mencatat keuntungan berbilion ringgit tidak boleh dijadikan justifikasi untuk memperkecilkan kerugian RM163.4 juta yang ditanggung.
Katanya, setiap ringgit dana persaraan merupakan amanah kepada rakyat dan perlu diuruskan dengan penuh tanggungjawab.
Beliau turut menegaskan bahawa Anwar, selaku Menteri Kewangan, tidak boleh melepaskan diri daripada tanggungjawab politik berhubung perkara itu.
"Beliau mesti tampil memberi penjelasan yang menyeluruh, bukannya sekadar memberikan jawapan bersifat teknikal," katanya.
Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS mengemukakan tiga tuntutan iaitu supaya Pengerusi KWAP direhatkan sementara siasatan dijalankan, satu siasatan bebas dan telus dilaksanakan terhadap keseluruhan proses pelaburan tersebut serta Anwar meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan.
Menurut Afnan, kehilangan RM163.4 juta bukan sekadar isu pelaburan, sebaliknya membabitkan kepercayaan rakyat terhadap pengurusan dana persaraan negara.
"Tiada siapa yang boleh terlepas daripada dipertanggungjawabkan," katanya.
Berita berkaitan
July 21, 2026, 2:46 pm
Tamim Dahari mengaku tidak bersalah rosakkan simbol keagamaan penganut Hindu di Langkawi
July 21, 2026, 2:36 pm
Dua lelaki ditahan belasah lelaki cederakan hidung, mata dan kepala di Flat Sri Pulau Pinang
July 21, 2026, 2:27 pm
Tiada keperluan letak jawatan, kuasa pelantikan hak mutlak PM- Ahmad Zahid
July 21, 2026, 2:20 pm
Cubaan seludup ganja RM19.82 juta gagal, 4 lelaki termasuk 3 wanita dicekup di KLIA
July 21, 2026, 1:49 pm
