Berita Berita
Dana mikro Hijrah bantu 60,000 usahawan elak terjerat along – Amirudin
Oleh AZIM SAID
KLANG 21 Julai – Pelaksanaan skim pembiayaan mikro oleh Yayasan Hijrah Selangor membantu kira-kira 60,000 usahawan kecil mendapatkan akses kewangan sekali gus mengurangkan risiko mereka terjebak dengan pinjaman tidak berlesen atau along.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kewujudan skim pembiayaan mikro itu memberi pilihan kepada usahawan yang memerlukan modal perniagaan, terutama golongan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Beliau berkata, tanpa kemudahan pembiayaan mikro yang ditawarkan kerajaan negeri, sebahagian usahawan mungkin terpaksa bergantung kepada pinjaman tidak bertanggungjawab yang mengenakan kadar bayaran tinggi serta boleh menjejaskan kehidupan peminjam.
“Bayangkan 60,000 peminjam ini kalau tidak ada pinjaman mikro, sedangkan pada masa itu faedah yang dikenakan bank juga agak tinggi.
“Pilihan yang ada kepada mereka mungkin melalui pemberi pinjaman tidak berlesen atau dalam istilah lain along yang mengenakan caj bunga sangat tinggi,” katanya pada sidang media selepas pelancaran aplikasi DanaPlus Yayasan Hijrah Selangor hari ini.
Amirudin berkata, sejak 2015 sehingga kini, Yayasan Hijrah Selangor telah menyalurkan 94,000 pembiayaan kepada 62,000 usahawan dengan jumlah pembiayaan hampir mencecah RM1 bilion.
Menurutnya, daripada suntikan awal kerajaan negeri sebanyak RM250 juta, dana tersebut berjaya dikitar semula sehingga menghasilkan nilai pinjaman sekitar RM900 juta.
“Bermakna hampir empat kali ganda daripada suntikan awal yang diberikan kerajaan negeri telah dikitar semula dan menjadi penggerak ekonomi kepada pembangunan usahawan negeri Selangor,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata aplikasi DanaPlus yang dilancarkan hari ini akan mempercepatkan proses permohonan pembiayaan secara dalam talian, selain mengurangkan campur tangan manusia serta meningkatkan ketelusan proses kelulusan.
Katanya, sistem itu membolehkan proses permohonan, kelulusan sehingga pembayaran balik dilakukan secara hujung ke hujung (end-to-end) dengan lebih sistematik.
“Dengan kaedah ini, kurang intervensi manusia dan semuanya berada dalam talian. Data serta maklumat juga lebih tepat, sekali gus membantu mengelakkan isu ketirisan dan kecuaian,” katanya.
Beliau berkata, DanaPlus turut menjadi sebahagian usaha kerajaan negeri memperkukuh ekosistem keusahawanan Selangor, termasuk membantu individu yang kehilangan pekerjaan atau ingin menceburi bidang perniagaan.
Berita berkaitan
July 21, 2026, 10:07 pm
'Untung jadi orang Muar' - Cara Syed Saddiq urus bantuan RM650,000 raih pujian netizen
July 21, 2026, 2:46 pm
Tamim Dahari mengaku tidak bersalah rosakkan simbol keagamaan penganut Hindu di Langkawi
July 21, 2026, 2:42 pm
PAS desak Anwar letak jawatan, Pengerusi KWAP direhatkan susulan kerugian pelaburan eFishery
July 21, 2026, 2:36 pm
Dua lelaki ditahan belasah lelaki cederakan hidung, mata dan kepala di Flat Sri Pulau Pinang
July 21, 2026, 2:27 pm
