TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Dunia

Lapan Ahli Kongres AS desak gantung bantuan ketenteraan kepada Malaysia isu usir warga Israel

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 22 Julai — Lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) menghantar surat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, bagi menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung tindakan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu mengusir secara serta-merta mana-mana rakyat Israel yang berada di Malaysia.

Kumpulan Ahli Kongres daripada Parti Demokrat berkenaan terdiri daripada Greg Landsman, Josh Gottheimer, Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss.

Berdasarkan surat yang dimuat naik oleh Landsman di akaun Facebook miliknya, mereka menyuarakan kebimbangan amat serius terhadap kenyataan Anwar yang didakwa cenderung bersifat antisemitisme, selain mendesak kerajaan AS mengambil tindakan tegas.

Antara desakan yang dikemukakan termasuk menarik balik serta merta bantuan keselamatan kepada Malaysia, khususnya menerusi program Pendidikan dan Latihan Ketenteraan Antarabangsa (IMET) yang membiayai latihan ketenteraan profesional pegawai Malaysia di AS. Mereka menggesa agar pembiayaan IMET digantung sekiranya Malaysia enggan menarik balik dasar berkenaan dalam tempoh 15 hari.

Selain itu, Ahli Kongres terbabit turut membuat dakwaan melampau kononnya Malaysia menjadi lokasi latihan Hamas berikutan hubungan terbuka negara ini dengan kumpulan pejuang Palestin berkenaan.

“Berdasarkan kelebihan diplomatik yang dimiliki, kami percaya AS perlu menjelaskan kepada Perdana Menteri Ibrahim dan kerajaannya bahawa bantuan serta sokongan kami menyusul jangkaan bahawa mereka tidak akan menyasarkan rakyat dari salah satu sekutu paling rapat kami.

“Oleh itu, kami menggesa agar satu semakan dilakukan terhadap hubungan keselamatan dan ekonomi antara AS dengan Malaysia bagi memastikan hubungan tersebut benar-benar memenuhi kepentingan terbaik AS,” tegas mereka dalam surat berkenaan.

Mereka turut meminta Jabatan Negara AS memperincikan tindakan yang bakal diambil dan menggunakan seluruh instrumen yang ada bagi memastikan kerajaan Malaysia bertanggungjawab.

Rabu lalu, Anwar menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak akan berkompromi dan bakal mengusir mana-mana rakyat Israel yang dikesan menetap di negara ini, termasuk mereka yang memegang dua kewarganegaraan sekiranya dakwaan berkaitan terbukti benar.

Kenyataan Perdana Menteri itu bagi mengulas gesaan Kerajaan Negeri Johor yang meminta pihak berkuasa menyiasat komuniti teknologi dikenali sebagai Network School di Forest City susulan timbul dakwaan kehadiran warga Israel berpasport gandaan di kawasan berkenaan.

+ - reset