TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

Pemandu van sekuriti tular disamun dipercayai meninggal dunia akibat sawan

By
|
Kongsi
image

KLANG 22 JULAI — Pemandu van syarikat keselamatan yang terlibat dalam insiden cubaan samun bersenjata di hadapan sebuah bank di Bandar Bukit Tinggi di sini dilaporkan telah meninggal dunia secara mengejut, sehari selepas kejadian berkenaan berlaku.

Khabar duka itu mula tular di platform media sosial selepas dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok dikenali sebagai Deena Durrah, yang memaklumkan pemergian mangsa iaitu Allahyarham Muhammad Mujahid Semsuddin, 42, menerusi satu hantaran.

Menerusi perbualan dan perkongsian hangat di media sosial, pelbagai spekulasi mula timbul termasuk dakwaan warganet yang menyatakan Allahyarham diserang sawan atau serangan jantung secara tiba-tiba ketika berada dalam proses memberi keterangan kepada pihak polis. 
Mengikut dakwaan yang disebarkan, panik dan tekanan perasaan susulan insiden cemas itu dipercayai menjadi punca serangan fizikal secara mendadak tersebut berlaku ke atas mangsa.

Susulan penularan khabar berita berkenaan, Media Telus telah menghubungi pihak polis bagi mendapatkan pengesahan serta maklumat lanjut berhubung kejadian itu. 

Bagaimanapun, setakat ini masih belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak polis berkenaan punca sebenar kematian mahupun kaitan rasmi Allahyarham dengan kejadian berkenaan.

Dalam insiden pada Isnin lalu, suspek bersenjatakan pistol gagal melarikan wang tunai RM82,000 selepas tindakan pantas petugas keselamatan mengunci pintu van dari dalam. 

Berang dengan kegagalan itu, suspek sempat merampas sepucuk senjata api jenis 'pump gun' milik pengawal keselamatan sebelum melarikan diri menaiki sebuah motosikal, manakala orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang andaian sehingga laporan rasmi dikeluarkan pihak berkuasa.

+ - reset