TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Koperal polis didakwa amang seksual anak kandung, mahkamah tolak jaminan

By
|
Kongsi
image

AMPANG, 22 Julai — Seorang anggota polis berpangkat Koperal yang kini digantung tugas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan kandungnya berusia 11 tahun, Mei lalu.

Tertuduh yang berusia 35 tahun dan mempunyai empat orang anak itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamarudin.

Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa sebagai seorang yang mempunyai hubungan amanah iaitu bapa kandung, telah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya yang ketika kejadian berusia 11 tahun 10 bulan bagi tujuan seksual.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kuala Kubu Bharu, Rawang antara jam 9 hingga 10 malam pada 21 Mei serta jam 2 petang pada 22 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta serupa.

Seksyen 14 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, manakala Seksyen 16(1) membawa hukuman tambahan penjara maksimum lima tahun serta sekurang-kurangnya dua sebatan jika sabit kesalahan.

Bantahan Jaminan oleh Pihak Pendakwaan

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin membantah sebarang jaminan diberikan kepada tertuduh. Beliau memaklumkan bahawa tertuduh sebelum ini pernah dituduh di Mahkamah Kuala Kubu Bharu di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas dakwaan merogol anak sulungnya yang berusia 18 tahun.

Menurut pihak pendakwaan, selepas tertuduh dibenarkan ikat jamin dalam kes tersebut, ahli keluarga mendakwa tertuduh telah mengganggu mangsa. Sehubungan itu, pendakwaan memohon agar jaminan ditolak bagi mengelakkan tertuduh mengganggu atau mencari mangsa.

Hujah Pihak Pembelaan

Peguam yang mewakili tertuduh, Muhammad Azim Hilmi Aziz merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin atas alasan kes di Kuala Kubu Bharu melibatkan pertuduhan berasingan dan tertuduh kini tidak lagi tinggal bersama mangsa.

Pihak pembelaan turut memohon jaminan atas faktor kesihatan, memandangkan tertuduh sedang menerima rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak dan memerlukan ubat khas yang tidak dibenarkan diambil di dalam penjara. Ibu tertuduh yang menetap di Ipoh, Perak juga dinamakan sebagai penjamin.

Keputusan Mahkamah

Selepas meneliti hujah kedua-dua belah pihak, Hakim Norshila Kamarudin memutuskan untuk tidak membenarkan jaminan atas faktor keselamatan mangsa berikutan aduan gangguan keluarga, selain kedudukan ibu tertuduh yang tinggal berasingan di Perak memudahkan risiko ketidakhadiran tertuduh ke mahkamah.

"Makcik tidak tinggal bersama tertuduh, jadi bagaimana makcik mahu pastikan dia hadir ke mahkamah bagi setiap prosiding kelak?

"Selain itu ada aduan daripada keluarga berhubung gangguan terhadap mangsa. Jadi buat masa ini, saya tidak membenarkan jaminan sehingga pihak pembelaan mengemukakan penjamin yang boleh memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah termasuk syarat dia tidak mengganggu mangsa," tegas beliau.

Mahkamah menetapkan 26 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen serta pertimbangan semula status penjamin sekiranya ada.

+ - reset