TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar jamin pelajar SPM 10A masuk matrikulasi secara automatik tanpa mengira kaum

By
|
Kongsi
image

 

SEREMBAN 22 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pengambilan pelajar ke program matrikulasi dilaksanakan berdasarkan kecemerlangan akademik dan keperluan golongan kurang berkemampuan bagi memastikan akses pendidikan yang lebih adil.

Beliau berkata, pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diberikan kemasukan secara automatik ke program matrikulasi tanpa mengira kaum.

"….yang paling pandai, yang dapat 10A, kita bagi automatik masuk, kaum Cina, India atau Melayu.

"Pada masa sama, kuota Bumiputera terus dikekalkan dengan mengambil kira faktor demografi serta keperluan membantu pelajar dari kawasan luar bandar dan pedalaman, termasuk di Sabah dan Sarawak," katanya ketika berucap pada Program Jelajah Rakan Muda di Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) Paroi di sini, pada Selasa.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Mengulas lanjut, Anwar berkata kerajaan tetap komited membantu golongan miskin daripada semua kaum berdasarkan keperluan sebagai memenuhi prinsip keadilan.

"Kalau ada orang India miskin atau Cina miskin, kita bantu. Apa ruginya kita berlaku adil kepada semua yang memerlukan," katanya.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menggesa rakyat menghayati cogan kata "Bersekutu Bertambah Mutu" yang diperkenalkan ketika negara mencapai kemerdekaan sebagai asas memperkukuh perpaduan dalam masyarakat majmuk.

Menurut beliau, Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj memilih cogan kata itu kerana memahami realiti Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, sekali gus menjadikan perpaduan sebagai asas keamanan serta kemakmuran negara.

Anwar turut mengingatkan generasi muda supaya tidak mudah terpengaruh dengan pihak yang memainkan sentimen perkauman dan agama demi kepentingan politik.

"Saya sudah tua, saya pernah melihat bagaimana isu kaum boleh menggugat keharmonian negara, jangan ulangi kesilapan itu, tiada jalan lain selain kita bersatu dan bermuafakat," katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan kerajaan akan terus memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara tanpa menafikan hak rakyat untuk menguasai bahasa lain seperti bahasa Cina, Tamil, Inggeris dan Arab.

+ - reset