TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Semudah itu 'privacy' hidup boleh hilang' - Khairul Aming fail tindakan undang-undang isu kebocoran data peribadi

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 22 Julai - Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming mengambil tindakan undang-undang susulan dakwaan kebocoran data peribadinya dengan menghantar surat tuntutan (Letter of Demand, LOD) kepada syarikat telekomunikasi yang didakwa terbabit.

Menerusi hantaran di platform Threads pada Selasa, Khairul Aming berkata, beliau turut membuat laporan kepada beberapa agensi penguat kuasa bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh terhadap insiden tersebut.

Menurutnya, peguam yang dilantik juga telah diarahkan untuk mengendalikan kes berkenaan sehingga selesai.

"Peguam saya sudah pun hantar LOD kepada Maxis. Laporan rasmi dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

"Laporan polis sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk buka siasatan ke atas pelaku. Laporan kebocoran data turut dibuat kepada Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).

"Peguam-peguam saya akan 'takeover case' ni sehingga selesai," katanya.

Khairul Aming turut mengakui berasa sedih dan bimbang dengan insiden itu kerana menyifatkan privasi seseorang boleh terjejas dengan begitu mudah.

"Sejujurnya rasa sedih dan seram sebab semudah tu je 'privacy' hidup boleh hilang.

"Maklumat telefon, 'payment history', 'subscription', sampai ke no IC boleh akses MySara, semuanya bocor," katanya.

Sebelum ini, Khairul Aming mempersoalkan bagaimana maklumat berkaitan bil telefon peribadinya boleh diketahui pihak lain sehingga didedahkan secara terbuka di media sosial.

Isu itu timbul selepas seorang pengguna Threads mendakwa mengetahui butiran akaun telefon miliknya, termasuk mendakwa terdapat tunggakan sebanyak RM498 selain mengaitkannya dengan penggunaan perkhidmatan tambahan.

Perkembangan itu turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil yang mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mendapatkan laporan penuh berhubung dakwaan kebocoran data berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan memandang serius dakwaan itu kerana ia memberi gambaran kemungkinan wujud akses tanpa kebenaran terhadap maklumat peribadi pelanggan serta sistem dalaman syarikat telekomunikasi terbabit.

+ - reset