TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hubungan menteri Kerajaan Perpaduan kekal kukuh, mesyuarat mesra walaupun diuji bahang PRN

By
|
Kongsi
image

KUALA PILAH, 22 Julai — Hubungan antara menteri dan timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduan dipastikan kekal teguh dan kukuh meskipun timbul pelbagai kenyataan panas membabitkan kepimpinan parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil menjelaskan bahawa kenyataan dan teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini hanyalah sebagai peringatan bersasar agar semua anggota Jemaah Menteri sentiasa mengekalkan disiplin serta profesionalisme sepanjang tempoh berkempen.

"Ia terpakai bukan hanya untuk menteri, timbalan menteri, malah juga mereka yang mengepalai, menjadi pengerusi atau ketua kepada mana-mana agensi kerajaan.

"Jadi, ia adalah bersifat peringatan yang tegas untuk menjaga disiplin dan adab. Hari ini, mesyuarat Jemaah Menteri telah berjalan dengan sangat baik. Tidak ada apa-apa isu yang tidak boleh dibincangkan. Malah, selesai mesyuarat Jemaah Menteri, kami semua telah duduk makan tengah hari bersama-sama," katanya.

Fahmi berkata demikian selepas hadir melawat sesi latihan kompang dan permainan gasing di FELDA Kepis bersama calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senaling, Mohd Hanis Alimin di sini, hari ini.

Kenyataan berkenaan dibuat bagi meredakan spekulasi berikutan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam yang menyuarakan bahawa Perdana Menteri berhak memecat beliau serta menteri daripada Barisan Nasional (BN) sekiranya tidak lagi bersetuju dengan mereka.

Mengulas lanjut, Fahmi menyeru agar seluruh ahli serta pimpinan parti di peringkat akar umbi dan pertengahan memahami keutamaan Kerajaan Persekutuan pada ketika ini iaitu memfokuskan usaha mentadbir dan memulihkan ekonomi negara.

"Ekonomi dunia sedang bergolak akibat daripada konflik di Asia Barat, maka fokus pimpinan di peringkat tertinggi adalah untuk memastikan politik negara stabil dan ekonomi dapat terus dibangunkan," tegas beliau.

+ - reset