TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Dunia

Pelajar yatim piatu jadi mangsa rogol suami guru di sekolah

By
|
Kongsi
image

JAKARTA 24 JULAI - Rahsia penderitaan seorang murid sekolah rendah yang mendakwa menjadi mangsa keganasan seksual akhirnya terbongkar selepas mangsa kerap menunjukkan perubahan tingkah laku dan mengadu mengalami kesakitan pada bahagian badan.

Mangsa yang merupakan seorang murid Tahun Dua dan berstatus anak yatim piatu dipercayai menceritakan kejadian trauma dialaminya kepada nenek angkat selepas ditanya mengenai keadaan fizikalnya.

Setiausaha Kampung tempatan, AAS berkata, pendedahan daripada mangsa itu menguatkan dakwaan penglibatan seorang guru dan suami wanita berkenaan dalam jenayah terbabit. 

Menurutnya, pengakuan mangsa mendorong pihak keluarga untuk terus membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanjungbalai serta menggesa tindakan segera diambil.

Berdasarkan maklumat awal, suspek lelaki dikenali sebagai AIK yang merupakan seorang penjawat awam sambilan di bawah pentadbiran Kerajaan Kota Tanjungbalai, manakala isterinya, D, berkhidmat sebagai seorang guru.

Bagaimanapun, AAS menguatkan dakwaan bahawa kes berkenaan sebenarnya telah dilaporkan sejak kira-kira dua bulan lalu. 

Namun kelewatan proses siasatan polis mencetuskan keresahan serta kebimbangan dalam kalangan masyarakat setempat. 

Suasana menjadi semakin tegang apabila penduduk mendapati salah seorang suspek masih dibenarkan meneruskan tugas mengajar di sekolah seperti biasa.

Tindakan itu mencetuskan rasa tidak puas hati dan kemarahan ratusan penduduk serta ibu bapa. 
Keadaan ketegangan memuncak sekali gus menyaksikan orang ramai bertindak berhimpun dan mengerumuni kediaman pasangan berkenaan sebagai tanda bantahan.

Keadaan rusuhan itu bagaimanapun berjaya dikawal selepas pihak polis bergegas ke lokasi untuk membawa keluar kedua-dua suspek bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Sementara itu, Ketua Polis Tanjungbalai, AKBP Welman Feri mengesahkan bahawa pasangan suami isteri terbabit kini berada dalam tahanan dan masih menjalani proses pemeriksaan lanjut oleh pihak berkuasa.

+ - reset