TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Sokong usaha MUKMIN, Anwar umum dana RM2 juta bantu pendidikan anak India Muslim

By
|
Kongsi
image

 

GEORGE TOWN 25 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan segera sebanyak RM2 jutabagi menyokong usaha Pertubuhan Gabungan MUKMIN Nasional (MUKMIN) membantu anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan melanjutkan pengajian serta menceburi bidang baharu yang strategik.

Beliau mengumumkan perkara itu ketika menghadiri majlis pelancaran Indian Muslim Transformational Framework 2030 (IMTF2030) dan penyampaian Mukmin Future Leaders Scholarship (MFLS) di Pusat Konvensyen PICCA di sini.

Turut hadir Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim dan Presiden Pertubuhan Gabungan MUKMIN Nasional (MUKMIN) Datuk Shahul Dawood.

Menurut Anwar, beliau menghargai kesungguhan MUKMIN mengemukakan pelan transformasi yang positif bagi mengangkat martabat masyarakat India Muslim serta memperkukuh sumbangan komuniti itu kepada pembangunan negara.

Katanya, usaha berkenaan selaras dengan semangat Malaysia MADANI yang menuntut penyertaan rakyat secara sedar, keberanian menyuarakan pandangan serta kesediaan memikul tanggungjawab bersama.

"Atas semangat itu, saya meluluskan peruntukan segera RM2 juta bagi menyokong usaha MUKMIN membantu anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan melanjutkan pengajian serta mengikuti bidang baharu yang strategik," katanya.

Beliau berharap bantuan itu dapat melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing yang mampu mengangkat martabat masyarakat serta menyumbang kepada kemajuan negara.

"Insya-Allah, generasi yang tinggi ilmunya dan kukuh nilainya akan mengangkat martabat masyarakat serta membawa Malaysia ke mercu kejayaan," katanya.

+ - reset