TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Mesti selesai!' - Anwar beri kementerian tempoh sebulan selesai isu kekurangan pekerja restoran

By
|
Kongsi
image

 

BUTTERWORTH 25 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan kementerian dan jabatan berkaitan menyelesaikan isu kekurangan tenaga kerja yang dihadapi pengusaha restoran dalam tempoh maksimum sebulan.

Beliau berkata, kerajaan mengambil maklum keluhan pemain industri makanan dan minuman yang berdepan kesukaran mendapatkan pekerja, namun pada masa sama tidak boleh membuka ruang sepenuhnya kepada kemasukan pekerja asing.

Menurutnya, Malaysia ketika ini sudah mempunyai jumlah pekerja asing yang ramai, termasuk dalam kalangan yang tidak berkemahiran.

"Saya dengar keluhan pengusaha restoran mengenai masalah tenaga kerja dan kita tak boleh buka ruang sepenuhnya semata-mata untuk mengisi kekosongan dalam negara yang terlalu ramai pekerja asing, termasuk yang tidak berpendidikan.

"Tetapi saya setuju, ada keperluan mendesak mengisi kekosongan pekerja di lapangan tertentu, termasuk restoran-restoran.

"Jadi, mulai hari Isnin, saya bagi tempoh kepada kementerian-kementerian dan jabatan berkenaan, selesaikan keutamaan ini dalam tempoh satu bulan maksimum, mesti selesai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Indian Muslim Transformational Framework (IMTF) 2030 anjuran Pertubuhan Gabungan Mukmin Nasional (MUKMIN) di Pusat Konvensyen PICCA di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Pengerusi MUKMIN, Datuk Wira Shahul Dawood dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Pada majlis sama, Anwar turut meluluskan bantuan sebanyak RM2 juta bagi kebajikan dan pendidikan anak-anak MUKMIN yang memerlukan.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata kerajaan sentiasa bersedia mendengar serta meneliti isu yang dibangkitkan masyarakat India Muslim, termasuk berkaitan peluang pekerjaan, pinjaman, pendidikan, perniagaan dan perumahan.

Beliau mengakui masih terdapat kelompok masyarakat yang merasakan mereka terpinggir dan menegaskan setiap pandangan serta cadangan yang dikemukakan perlu diberi perhatian bagi membolehkan penambahbaikan dilaksanakan.

"Sebab itulah saudara-saudara harus mengemukakan pandangan dan kita perbaiki. Saya tidak pernah menganggap saya sudah buat yang sebaiknya dan sudah sempurna. Saya tahu kelemahan saya dan saya belajar.

"Ada hal-hal yang spesifik dibangkitkan. Soal pinjaman, peluang pekerjaan, saya akan beri perhatian," katanya.

Anwar turut menegaskan pendekatan kerajaan adalah mendengar keluhan rakyat tanpa menafikan hak mana-mana kaum serta memastikan bantuan disalurkan secara adil mengikut keperluan.

Beliau turut menyeru semua pihak agar terus berganding bahu mengangkat martabat negara dengan semangat saling membantu, kasih sayang dan perpaduan demi memastikan Malaysia terus maju sebagai sebuah negara yang makmur dan harmoni.

+ - reset