Berita Berita
Dua pelajar perempuan masih lengkap berpakaian 'PJ' ditemukan maut di flat kosong di Ipoh
IPOH 25 Julai – Dua pelajar perempuan berusia 14 tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat atas sebuah bangunan perumahan kosong di Flat Sungai Pari, Buntong di sini pada Jumaat.
Kejadian itu disedari seorang pengawal keselamatan yang sedang melakukan rondaan sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa.
Kedua-dua mangsa, yang merupakan rakan baik, difahamkan bersekolah di sekolah yang sama di Ipoh dan mengikuti sesi persekolahan pada waktu petang.
Ibu kepada salah seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Seela, 36, berkata, dia menghantar anaknya bersama rakannya ke sekolah dari kediaman mereka di Menglembu kira-kira jam 1 petang.
Namun, sekitar jam 4.50 petang, beliau menerima panggilan memaklumkan anaknya berada di kawasan perumahan kosong berkenaan.
"Saya sempat melihat keadaan dia, masih memakai pakaian Pendidikan Jasmani (PJ), sama seperti ketika saya menghantarnya ke sekolah tadi.
"Saya tidak tahu bagaimana anak saya boleh berada di sini. Sebelum ini dia tidak pernah datang ke tempat seperti ini," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurut Seela, beliau masih terkejut dan sukar menerima tragedi yang menimpa anak keduanya daripada tiga beradik itu.
Katanya, mangsa yang bersifat agak pendiam tidak pernah menunjukkan sebarang perubahan sikap atau mengadu menghadapi masalah di sekolah.
"Anak saya memang pendiam sedikit, tetapi sepanjang pengetahuan saya, semua hal berkaitan sekolah dan pelajarannya dalam keadaan baik.
"Selama ini saya yang menghantar dan menjemputnya ke sekolah setiap hari. Saya langsung tidak menyangka perkara seperti ini boleh berlaku," katanya.
Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk proses bedah siasat selepas siasatan di lokasi selesai dijalankan.
Flat Sungai Pari, yang turut dikenali sebagai 'Sungai Pari Tower' atau 'Tingkat 15', pernah menjadi bangunan tertinggi di Malaya Utara dan mercu tanda bandar Ipoh kerana reka bentuk bumbungnya yang unik berbentuk mangkuk.
Projek perumahan awam yang dibina pada 1963 itu bagaimanapun dikosongkan secara berperingkat sejak 2012 susulan kebimbangan terhadap keselamatan struktur bangunan.
Berita berkaitan
July 25, 2026, 8:57 pm
Pelajar dibuli, 3 rakan sekolah disiasat
July 25, 2026, 8:43 pm
Keadaan Najib stabil, tidak perlu pasang 'stent'
July 25, 2026, 3:04 pm
Pengumuman berkaitan penganjuran F1 di Malaysia akan dibuat esok - PM
July 25, 2026, 9:40 am
MCMC siasat kandungan hina Islam di Facebook
July 25, 2026, 9:11 am
Anwar seru masyarakat India Muslim terus jadi jambatan perpaduan negara
July 25, 2026, 7:54 am
Sokong usaha MUKMIN, Anwar umum dana RM2 juta bantu pendidikan anak India Muslim
July 24, 2026, 10:51 pm
