Berita Berita
'Masyarakat India Muslim tidak mempunyai mentaliti negatif' - Anwar mahu IMTF2030 jadi model pembangunan komuniti minoriti
BUTTERWORTH 25 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Indian Muslim Transformational Framework 2030 (IMTF2030) berpotensi menjadi pelan tindakan utama bagi memperkasa hampir 800,000 masyarakat India Muslim di Malaysia, sekali gus menyokong agenda pembangunan Malaysia MADANI.
Beliau berkata, inisiatif yang diterajui Pertubuhan Gabungan Mukmin Nasional (MUKMIN) itu mencerminkan kesungguhan masyarakat India Muslim untuk melaksanakan pembangunan jangka panjang secara lebih tersusun, strategik dan mampan.
"Masyarakat India Muslim tidak mempunyai mentaliti negatif. Walaupun mereka merupakan golongan minoriti, mereka memiliki pemikiran yang positif, keupayaan, iltizam, komitmen serta keazaman untuk membawa perubahan melalui inisiatif seperti IMTF2030.
"Saya percaya sekiranya kerangka ini dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, ia mampu menyokong aspirasi murni Malaysia MADANI menerusi pelaksanaan langkah-langkah yang diperlukan," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran IMTF2030 di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, di sini.
Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick; serta Presiden MUKMIN, Datuk Shahul Dawood.
Dalam ucapannya, Anwar turut merakamkan penghargaan terhadap sumbangan masyarakat India Muslim kepada pembangunan negara dan menggesa komuniti itu terus memainkan peranan sebagai jambatan perpaduan dengan memperjuangkan kepentingan masyarakat sendiri tanpa mengetepikan hak kaum lain.
Sementara itu, Shahul berkata, IMTF2030 merupakan pelan transformasi lima tahun pertama yang komprehensif bagi masyarakat India Muslim, yang menggariskan visi bersama dalam memperkukuh bidang pendidikan, keusahawanan, kepimpinan serta pembangunan negara.
Menurutnya, kerangka tersebut bukan sekadar pelan strategik, malah mencerminkan komitmen kolektif masyarakat India Muslim untuk berfikir secara strategik, bertindak secara kolaboratif dan menyumbang dengan lebih bermakna kepada masa depan Malaysia.
Beliau berkata, pelancaran IMTF2030 turut menyaksikan pengenalan Mukmin Future Leaders Scholarship (MFLS)yang berjaya memperoleh komitmen biasiswa melebihi RM10 juta, sekali gus menyediakan lebih 400 peluang biasiswa hasil kerjasama strategik dengan lapan institusi pengajian tinggi terkemuka.
Di bawah IMTF2030, MUKMIN menyasarkan untuk menggerakkan RM50 juta bagi pembiayaan biasiswa dan pembangunan bakat, meningkatkan kemahiran 50,000 individu, mentransformasikan 2,500 perusahaan menerusi pendigitalan serta menjana nilai ekonomi kumulatif sehingga RM250 bilion.
Kerangka itu turut menyasarkan pewujudan peluang perolehan rantaian bekalan tempatan bernilai RM10 bilion, pembangunan 500 perusahaan berteraskan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital, melahirkan 50 jenama Malaysia yang bersedia menembusi pasaran eksport serta memperkasa sosioekonomi 10,000 keluarga menerusi inisiatif pembangunan yang lebih inklusif.
Berita berkaitan
July 25, 2026, 8:57 pm
Pelajar dibuli, 3 rakan sekolah disiasat
July 25, 2026, 8:43 pm
Keadaan Najib stabil, tidak perlu pasang 'stent'
July 25, 2026, 3:04 pm
Pengumuman berkaitan penganjuran F1 di Malaysia akan dibuat esok - PM
July 25, 2026, 9:40 am
MCMC siasat kandungan hina Islam di Facebook
July 25, 2026, 9:11 am
Anwar seru masyarakat India Muslim terus jadi jambatan perpaduan negara
July 25, 2026, 8:39 am
Dua pelajar perempuan masih lengkap berpakaian 'PJ' ditemukan maut di flat kosong di Ipoh
July 25, 2026, 7:54 am
Sokong usaha MUKMIN, Anwar umum dana RM2 juta bantu pendidikan anak India Muslim
July 24, 2026, 10:51 pm
