Berita Berita
PM bakal umum Dasar Perumahan Negara 2026-2036, fokus jadikan rumah idaman lebih mampu milik oleh rakyat
Oleh AZIM SAID
PETALING JAYA, 28 Julai – Kerajaan bakal memperkenalkan hala tuju baharu sektor perumahan negara menerusi Dasar Perumahan Negara 2026-2036 yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Ogos ini, dengan tumpuan memastikan rumah idaman menjadi lebih mampu milik untuk rakyat.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, dasar baharu itu akan mengambil kira cabaran semasa rakyat dalam memiliki kediaman berkualiti, selain memastikan pembangunan perumahan negara lebih mampan dan bersedia menghadapi keperluan masa depan.
Beliau berkata pelancaran dasar berkenaan akan diadakan di Sime Darby Convention Centre dan menjadi asas kepada pendekatan baharu kerajaan dalam memperkukuh ekosistem perumahan negara serta memastikan tiada lagi projek perumahan terbengkalai menjelang 2030.
“Sukacita dimaklumkan, pada 10 Ogos nanti Perdana Menteri sudah sudi melancarkan Dasar Perumahan Negara 2026-2036. Kita akan mengumumkan dasar perumahan negara terkini supaya menjadikan rumah ini idaman lebih mampu milik oleh rakyat,” katanya.
Menurut Nga, isu kemampuan memiliki rumah kini semakin kompleks dan tidak lagi boleh dinilai hanya berdasarkan ukuran tradisional kerana perubahan ekonomi, peningkatan urbanisasi serta perubahan keperluan masyarakat.
Beliau berkata kadar urbanisasi Malaysia meningkat daripada 28 peratus pada 1970 kepada 77 peratus pada 2025 dan dijangka mencapai 85 peratus menjelang 2040, sekali gus memerlukan perancangan bandar dan perumahan yang lebih strategik.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup pada Senior Leadership Circle Roundtable Discussion with Cambridge Professor anjuran REHDA Institute hari ini.
Katanya, kerajaan mahu membina bandar yang bukan sahaja boleh didiami, tetapi juga disayangi oleh rakyat dengan memastikan kediaman mempunyai hubungan baik dengan pengangkutan awam, peluang pekerjaan, pendidikan, kesihatan serta kemudahan awam.
Dalam usaha memperluaskan akses kepada rumah berkualiti, Nga berkata kerajaan melalui kerjasama bersama kerajaan negeri dan pemaju swasta telah meluluskan lebih 511,000 unit rumah di seluruh negara, melepasi sasaran Rancangan Malaysia Ke-12.
Beliau berkata kerajaan juga akan terus mempercepat penggunaan teknologi pembinaan seperti Industrialised Building System (IBS) dan Prefabricated Prefinished Volumetric Construction (PPVC) bagi meningkatkan kecekapan kos.
Selain itu, inisiatif seperti Rahmah Cement Initiative turut diperkenalkan bagi membantu mengurangkan kos pembinaan dan menyokong usaha menyediakan lebih banyak rumah mampu milik.
Nga berkata pendekatan berasaskan data dan teknologi digital juga akan menjadi sebahagian daripada transformasi sektor perumahan melalui pelaksanaan sistem seperti Housing Integrated Management System (HIMS) dan Electronic Sale and Purchase Agreement (eSPA) bagi meningkatkan ketelusan serta perlindungan pengguna.
Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan akan menubuhkan Malaysia - Cambridge Urban Platform bersama kepakaran Universiti Cambridge bagi membantu Malaysia menghasilkan penyelesaian perumahan dan pembangunan bandar yang berasaskan penyelidikan.
Nga berkata Malaysia juga mahu memainkan peranan lebih besar dalam agenda pembangunan bandar mampan selepas negara diberi kepercayaan sebagai Presiden UN-Habitat, termasuk menerusi usaha membangunkan taraf bangunan hijau yang boleh menjadi rujukan negara lain.
"Saya nak maklumkan, setakat pagi ini, negara kita telah berjaya mencatat 500 juta kaki persegi bangunan hijau," jelasnya.
Menurut beliau, sebagai Presiden UN-Habitat, Malaysia mahu memainkan peranan lebih besar dalam menerajui agenda perumahan mampu milik berkualiti tinggi serta pembangunan bandar mampan di peringkat serantau.
Beliau berkata matlamat akhir kerajaan bukan sekadar menyediakan rumah kepada rakyat, tetapi membina bandar mampan yang mempunyai kualiti hidup tinggi dan menjadi tempat yang disayangi oleh warga bandar
Berita berkaitan
July 28, 2026, 4:15 pm
Enam beradik didakwa edar heroin 118 gram di Ipoh
July 28, 2026, 3:04 pm
KJ tegas bicara isu Melayu cermin realiti politik, bukan perkauman
July 28, 2026, 12:15 pm
Tingkatan Enam kekal bawah KPM, diperkasa sebagai program prauniversiti
July 28, 2026, 12:08 pm
PM ingatkan sekolah jangan lindung kes buli demi jaga imej
July 28, 2026, 12:02 pm
Pelarian Rohingya berkumpul di UNHCR dipindah ke IPK, sah miliki dokumen
July 28, 2026, 10:54 am
Tiga kilang musnah lepas terbakar di Kulim
July 28, 2026, 9:36 am
Wanita warga asing diragut penunggang EX5 di Bandar Putra IOI
July 28, 2026, 9:31 am
Pengedar dadah ditahan bersama syabu, ganja lebih RM21,000 di Bera
July 28, 2026, 9:22 am
