TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Laporan RCI TH bukti fitnah terhadap saya tidak benar, kata Mujahid

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 30 Julai — Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mengalu-alukan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) kepada umum, di samping menegaskan ia membuktikan segala tuduhan serta fitnah ke atasnya adalah tidak benar.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu meluahkan rasa syukur kerana penerbitan laporan tersebut membolehkan rakyat menilai fakta sebenar berhubung proses pemulihan dan penstrukturan semula TH semasa beliau menerajui kementerian itu dari tahun 2018 hingga 2020.

Menurutnya, pendedahan berkenaan secara langsung menangkis pelbagai tohmahan jahat sebelum ini, termasuk dakwaan kononnya beliau mengagihkan atau menggadaikan aset umat Islam kepada pihak bukan Islam.

"Mereka juga menuduh saya sebagai menteri yang mengeluarkan hibah terendah tanpa mengetahui bahawa sebelumnya pada zaman Barisan Nasional (BN), Tabung Haji mengalami kerugian yang besar kerana mengeluarkan hibah tidak patuh undang-undang demi kepentingan politik sebagaimana yang dilaporkan.

"Hasil dari pemulihan yang kami lakukan, pembayaran hibah patuh undang-undang telah meningkat dari serendah 1.25 peratus semasa awal pemulihan kepada hari ini yang mencecah 3.5 peratus. Itu adalah hasil kejayaan semasa pemulihan 2018-2020 dilaksanakan," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Mujahid turut berpuas hati apabila dapatan RCI mengiktiraf Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Semula Tabung Haji 2018 sebagai satu-satunya langkah kritikal yang berjaya menyelamatkan institusi berkenaan daripada muflis akibat defisit mencecah RM10 bilion yang diwarisinya.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa cadangan pelaksanaan subsidi haji bersasar—yang pernah dikritik hebat oleh pihak pembangkang ketika itu—turut diperakui oleh RCI sebagai pendekatan terbaik bagi menjamin kelangsungan dan kemampanan kewangan TH dalam jangka panjang.

Sambil merakamkan penghargaan kepada bekas Pengerusi TH, Tan Sri Mohd Nor Yusof serta bekas CEO, Datuk Seri Zukri Samat, Mujahid menyifatkan pendedahan RCI ini sebagai jawapan dan keadilan daripada Tuhan buat pihak yang pernah menjadi mangsa kecaman serta fitnah politik.

+ - reset