Berita Berita
Maritim nafi video tular kemasukan PATI di pantai barat Johor
KUALA LUMPUR 31 JULAI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menafikan video yang tular dalam media sosial berhubung dakwaan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di pantai barat Johor, bulan ini.
Pemangku Pengarah Maritim Malaysia Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil, berkata pihaknya sudah menjalankan semakan serta penilaian terhadap kandungan video tular berkenaan.
"Kita memandang serius perkara ini, namun hasil risikan dan siasatan terhadap kes-kes terdahulu mendapati tiada bukti yang mengesahkan modus operandi seperti yang dipaparkan dalam video berkenaan.
"Malah, kami tidak menolak kemungkinan kandungan sedemikian digunakan sebagai taktik penipuan oleh pihak tertentu bagi memperdaya individu yang ingin mendapatkan khidmat membawa masuk atau keluar pendatang asing tanpa izin," katanya menerusi kenyataan, semalam.
Menurut beliau, sindiket penyeludupan migran sentiasa mengubah modus operandi bagi mengelakkan pengesanan termasuk menggunakan bot fiber berenjin kecil yang menyerupai bot nelayan tempatan.
Selain itu katanya, pihak sindiket turut menukar lokasi pendaratan serta memilih waktu operasi yang sukar dikesan.
Sepanjang tempoh 2024 hingga bulan ini, pihaknya sudah mematahkan 13 cubaan penyeludupan migran melalui laluan laut.
"Daripada jumlah itu, enam kes direkodkan pada 2024, empat kes pada 2025 dan tiga kes bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini," jelasnya.
Kama Azri turut menyeru komuniti maritim, nelayan dan penduduk pesisir pantai supaya terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat mengenai aktiviti mencurigakan di laut.
Berita berkaitan
July 31, 2026, 10:33 am
Noh Omar yakin UMNO Selangor akhirnya akan bersama PN
July 31, 2026, 9:51 am
Ibu, dua anak perempuan ditemukan maut dalam bilik di Bandar Baru Tambun
July 31, 2026, 9:48 am
Agong jalani rawatan susulan masalah otot dan tulang, tak dapat hadir Sambutan Hari Pahlawan
July 31, 2026, 9:18 am
Kerajaan tapis dahulu 5,000 etnik Rohingya sebelum dihantar pulang ke Myanmar
July 31, 2026, 8:31 am
