Berita Berita
Noh Omar yakin UMNO Selangor akhirnya akan bersama PN
SHAH ALAM 31 Julai – Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yakin UMNO Selangor akan menjalinkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) apabila tiba masanya dan tidak akan terus bersama Pakatan Harapan (PH) di negeri itu.
Beliau berkata, keyakinan itu berasaskan pendirian pimpinan UMNO Selangor yang didakwanya tetap berpegang kepada prinsip perjuangan dan tidak mengejar jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri.
"Insya-Allah apabila sampai masanya UMNO Selangor akan bersama-sama dengan PN di Selangor dan tidak akan bersama PH. Kita tunggu dan lihat," katanya menerusi satu rakaman video yang dimuat naik pada malam Khamis.
Noh berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Afif Bahardin yang mencabar Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Selangor jika benar-benar mahu bekerjasama dengan Pas dan PN.
Afif dilaporkan berkata, sekiranya kerjasama antara UMNO dan Pas benar-benar ikhlas serta bukan sekadar gimik politik, langkah itu perlu dilakukan sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 3 Ogos ini.
Beliau turut menggesa Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abdul Aziz keluar daripada kerajaan negeri dan menyertai blok pembangkang jika UMNO benar-benar memilih untuk bersama Pas.
Mengulas kedudukan Rizam, Noh berkata perkara itu terserah kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk membuat keputusan.
"Biarlah Menteri Besar yang putuskan sama ada mahu pecat atau tidak," katanya.
Noh turut menolak dakwaan bahawa UMNO Selangor mengejar jawatan dalam kerajaan negeri.
Menurutnya, pimpinan UMNO Selangor didakwa telah menolak beberapa tawaran jawatan daripada kerajaan negeri termasuk pelantikan sebagai ahli pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri dan ketua kampung.
"Ini menunjukkan UMNO Selangor tidak mengejar jawatan dan berani meneruskan perjuangan," katanya.
Dalam pada itu, Noh memuji kehadiran pimpinan UMNO Selangor pada himpunan mempertahankan kedaulatan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu penternakan babi yang dianjurkan Pas di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor.
Katanya, beliau terharu melihat pimpinan UMNO termasuk Megat Zulkarnain, Ketua Pemuda UMNO Selangor dan Johan Abdul Aziz hadir menyatakan sokongan terhadap Sultan Selangor.
"Saya sendiri menitiskan air mata apabila melihat pimpinan UMNO bersama-sama dalam himpunan itu memberikan sokongan terhadap kedaulatan Sultan Selangor.
"Namun saya dimaklumkan terdapat arahan daripada pimpinan Bersatu Selangor supaya ahli parti itu tidak menyertai himpunan berkenaan. Jadi, di mana prinsip perjuangan Bersatu?" katanya.
Berita berkaitan
July 31, 2026, 11:05 am
Maritim nafi video tular kemasukan PATI di pantai barat Johor
July 31, 2026, 9:51 am
Ibu, dua anak perempuan ditemukan maut dalam bilik di Bandar Baru Tambun
July 31, 2026, 9:48 am
Agong jalani rawatan susulan masalah otot dan tulang, tak dapat hadir Sambutan Hari Pahlawan
July 31, 2026, 9:18 am
Kerajaan tapis dahulu 5,000 etnik Rohingya sebelum dihantar pulang ke Myanmar
July 31, 2026, 8:31 am
