Berita Berita
Nicky Liow dilepas daripada 26 pertuduhan ubah wang haram bernilai RM36 juta selepas selesai bayar cukai RM400,000
SHAH ALAM 31 Julai – Ahli perniagaan, Liow Soon Hee atau lebih dikenali sebagai Nicky Liow, dilepas dan dibebaskan daripada 26 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM36 juta selepas pihak pendakwaan menarik balik kes berkenaan.
Peguamnya, Datuk Rajpal Singh berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan selepas mempertimbangkan representasi yang dikemukakan pihak pembelaan.
Beliau berkata, Nicky turut melunaskan tunggakan cukai sebanyak RM400,000 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menyelesaikan pertuduhan berkaitan Borang Nyata Cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan.
Pada 12 April 2022, Nicky, 38, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap 26 pertuduhan itu.
Mengikut pertuduhan, beliau bersama tiga syarikat didakwa terlibat secara langsung dalam transaksi yang membabitkan hasil daripada aktiviti haram, selain berdepan dua pertuduhan memiliki wang hasil aktiviti haram dengan nilai keseluruhan melebihi RM36 juta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad cawangan Bandar Puteri, Puchong dan Ampang antara 2016 hingga 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Perenggan 4(1)(a) dan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613], yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Berita berkaitan
July 31, 2026, 11:05 am
Maritim nafi video tular kemasukan PATI di pantai barat Johor
July 31, 2026, 10:33 am
Noh Omar yakin UMNO Selangor akhirnya akan bersama PN
July 31, 2026, 9:51 am
Ibu, dua anak perempuan ditemukan maut dalam bilik di Bandar Baru Tambun
July 31, 2026, 9:48 am
Agong jalani rawatan susulan masalah otot dan tulang, tak dapat hadir Sambutan Hari Pahlawan
July 31, 2026, 9:18 am
Kerajaan tapis dahulu 5,000 etnik Rohingya sebelum dihantar pulang ke Myanmar
July 31, 2026, 8:31 am
