TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Malaysia sepatutnya dikenang bantu pelarian, bukan hantar semula ke kawasan konflik' - Santiago persoal kerajaan pulangkan 5,000 Rohingya ke Myanmar

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 31 Julai - Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mempersoalkan cadangan penghantaran pulang 5,000 pelarian Rohingya ke Myanmar, dengan menyifatkan langkah itu berisiko mendedahkan mereka kepada penganiayaan dan keganasan yang menyebabkan mereka melarikan diri sebelum ini.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Santiago berkata Myanmar masih bergelut dengan konflik bersenjata, manakala masyarakat Rohingya terus berdepan penafian kewarganegaraan serta pelbagai pencabulan hak asasi manusia.

Beliau berkata, kerajaan perlu menjelaskan jaminan yang diberikan terhadap keselamatan pelarian terbabit sebelum sebarang proses penghantaran pulang dilaksanakan.

"Malaysia tidak boleh dengan hati nurani yang baik meraikan kepulangan 5,000 Rohingya ke Myanmar tanpa menjawab satu persoalan asas terlebih dahulu: mereka dikembalikan kepada apa?

"Jika tiada jaminan yang boleh dipercayai mengenai keselamatan, maruah, kewarganegaraan dan kepulangan secara sukarela, ini bukan pencapaian diplomatik yang perlu dilaungkan, tetapi kegagalan moral," katanya.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan Myanmar bersetuju menerima kumpulan awal 5,000 pelarian Rohingya dari Malaysia hasil rundingan antara kedua-dua negara.

Menurut Anwar, persetujuan itu merupakan langkah awal dalam usaha menangani isu pelarian yang berlarutan di negara ini, di samping memelihara ketenteraman awam.

Mengulas lanjut, Santiago turut mempersoalkan sama ada penglibatan Malaysia dengan kepimpinan tentera Myanmar ketika memegang jawatan Pengerusi ASEAN lebih memberi tumpuan kepada usaha menghantar pulang pelarian berbanding mencari penyelesaian yang menjamin keamanan, keadilan dan akauntabiliti.

Beliau berkata, Malaysia sejak sekian lama dikenali sebagai negara yang lantang mengecam penganiayaan terhadap etnik Rohingya serta menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada golongan berkenaan.

"Untuk kini memudahkan kepulangan mereka tanpa perlindungan yang telus berisiko mengabaikan prinsip yang pernah kita perjuangkan," katanya.

Santiago turut mengingatkan bahawa penghantaran pulang secara paksa atau melalui tekanan boleh melanggar prinsip non-refoulement, iaitu larangan menghantar seseorang kembali ke negara atau wilayah yang boleh mendedahkan mereka kepada risiko penganiayaan atau kemudaratan serius.

Beliau berkata, sebarang tindakan meneruskan penghantaran pulang tanpa jaminan perlindungan yang mencukupi bukan sahaja membahayakan pelarian terbabit, malah boleh menjejaskan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Pelarian bukan masalah politik yang boleh dirunding untuk disingkirkan. Mereka adalah manusia yang melarikan diri daripada keganasan demi mencari keselamatan.

"Malaysia sepatutnya dikenang kerana melindungi golongan rentan, bukan kerana menghantar mereka kembali ke barisan hadapan konflik," katanya.

+ - reset