TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Imigresen batal PLKS diluluskan secara tidak teratur, pemegang pas kini diburu

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 31 Julai – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan membatalkan semua Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dikenal pasti diluluskan secara tidak teratur, selain mengesan keberadaan pemegang pas berkenaan bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, langkah itu merupakan tindakan susulan pertama selepas penemuan kelulusan PLKS yang tidak mengikut prosedur didedahkan menerusi Ops Crack, operasi bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, pihak Imigresen kini sedang mengesan lokasi semua individu yang terbabit sebelum tindakan lanjut dilaksanakan.

"Langkah pertama ialah membatalkan semua PLKS yang diluluskan secara tidak teratur dan seterusnya mengesan di mana mereka berada.

"Buat masa ini saya hanya boleh memaklumkan mereka berada di beberapa lokasi. Butiran lanjut tidak boleh didedahkan kerana bimbang mereka akan melarikan diri," katanya pada sidang media bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman di Putrajaya, pada Jumaat.

Sebelum ini, seramai 12 individu termasuk enam pegawai Imigresen dan seorang pegawai polis ditahan SPRM kerana disyaki terbabit dalam sindiket menggodam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) bagi meluluskan permohonan PLKS secara tidak sah.

Siasatan mendapati sindiket berkenaan dipercayai memanipulasi sistem dengan menggunakan kuota PLKS tahun 2011 tanpa membuat bayaran levi, sebelum mengeluarkan sebanyak 1,306 PLKS secara tidak sah sehingga mengakibatkan kerugian kepada kerajaan dianggarkan RM2.4 juta.

Mengulas lanjut, Abd Halim berkata, semua suspek ditahan menerusi operasi bersepadu Ops Crack yang dijalankan hasil kerjasama rapat antara SPRM dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Katanya, individu yang ditahan terdiri daripada dua pengarah syarikat, tiga warga asing, empat pegawai Imigresen, dua pegawai Bahagian Teknologi Maklumat Imigresen serta seorang pegawai polis yang dipercayai mempunyai peranan masing-masing dalam sindiket berkenaan.

+ - reset