TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kajian IDE: 12 hingga 18 peratus pengundi atas pagar penentu PRN Negeri Sembilan

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA, 31 Julai — Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang berlangsung esok dijangka sengit apabila kira-kira 12 hingga 18 peratus pengundi dilaporkan masih belum membuat keputusan, sekali gus menjadikan kumpulan atas pagar sebagai penentu pembentukan kerajaan negeri.

Dapatan terbaharu daripada Pusat Penyelidikan Institut Darul Ehsan (IDERC) menunjukkan belum ada mana-mana gabungan parti mempunyai laluan mudah untuk menguasai 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Meskipun 63.4 peratus responden sudah mempunyai pilihan parti, sekurang-kurangnya 33.8 peratus lagi merupakan kumpulan yang membuat keputusan lewat, termasuk 14.8 peratus yang hanya akan memuktamadkan pilihan pada hari pengundian.

Antara sorotan utama kajian IDERC merangkumi:

  • Jangkaan Kadar Keluar Mengundi: Dianggarkan sekitar 68 hingga 70 peratus berdasarkan 62.3 peratus responden yang pasti keluar mengundi dan 24 peratus lagi berkemungkinan besar berbuat demikian.

  • Komitmen Mengundi Mengikut Kaum: Pengundi Melayu mencatatkan komitmen tertinggi untuk keluar mengundi iaitu 66.7 peratus, berbanding pengundi India (56.6 peratus) dan pengundi Cina (56.1 peratus).

  • Kumpulan Pengundi Muda (18-30 Tahun): Merupakan kumpulan paling sukar dimobilisasi apabila hanya 51.8 peratus menyatakan pasti keluar mengundi.

  • Kerusi Marginal Penentu: Terdapat lapan kerusi marginal dijangka menjadi medan penentu utama kerana perubahan kecil julat undi mampu mengubah keseimbangan kuasa pembentukan kerajaan.

Kajian Persepsi Pengundi Negeri Sembilan ini dijalankan secara bersemuka dari 16 hingga 19 Julai lalu melibatkan 1,225 responden di kesemua 36 kawasan DUN, dengan pemantauan susulan diteruskan sehingga 30 Julai.

+ - reset