TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Penunggang motosikal maut nahas di LPT 1 dalam perjalanan ke RXZ Members 8.0

By
|
Kongsi
image

MARAN, 31 Julai — Seorang lelaki maut selepas motosikal jenis Yamaha 125ZR yang ditunggangnya terbabas di Kilometer 184.9, Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT 1), awal pagi tadi sewaktu dalam perjalanan ke program RXZ Members di Terengganu.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Mohd Fauzi Othman, 44, sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Terengganu bagi menghadiri perhimpunan RXZ Members 8.0.

"Apabila sampai di lokasi kejadian mangsa yang menunggang motosikal telah hilang kawalan dan terbabas kemudian jatuh di lorong kanan jalan.

"Akibat kemalangan, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian nahas tersebut dipercayai berpunca daripada kecuaian penunggang yang gagal mengawal motosikalnya. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Memandangkan tiada saksi yang tampil setakat ini, pihak polis menyeru orang ramai atau pengguna jalan raya yang melihat kejadian tersebut agar segera menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

+ - reset