TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

'Hampir seminggu dia laser apartment ni malam-malam' – Penduduk Sri Gombak minta ibu bapa pantau anak

By
|
Kongsi
image

Oleh AZIM SAID

GOMBAK 31 Julai – Tindakan individu yang didakwa bermain laser sehingga mengganggu penghuni sebuah apartmen di Sri Gombak mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk.

Menerusi satu hantaran yang tular di media sosial, seorang penghuni mendakwa cahaya laser sering dipancarkan ke arah kawasan apartmen kediamannya hampir setiap malam sejak hampir seminggu.

Menurut hantaran tersebut, pengadu yang tinggal di tingkat 15 mempersoalkan tindakan individu berkenaan serta meminta ibu bapa mengambil perhatian terhadap aktiviti anak-anak.

“Ni anak siapa yang duk main laser kat rumah orang? Kami duduk kat Sri Gombak tingkat 15, hampir seminggu dia laser-laser apartment ni malam-malam. Nak tunggu orang datang sana ceramah ke baru nak pantau anak korang?” tulisnya.

Perkongsian itu turut mendapat pelbagai reaksi daripada warga maya yang mencadangkan tindakan lebih tegas diambil sekiranya gangguan tersebut berterusan.

Pengguna azie.cw menyarankan supaya laporan dibuat kepada pihak berkuasa bagi membolehkan pemeriksaan dilakukan di kawasan berkenaan.

“Telefon polis jer lah lapor. Minta buat ronda kawasan rumah situ. Bagi bukti video ni. Polis akan pergi,” komennya.

Dalam pada itu, beberapa pengguna lain turut berkongsi kebimbangan mengenai penggunaan laser yang boleh mengganggu keselamatan dan privasi penghuni.

“Lapor je, dia mesti rasa kelakar dan seronok buat macam tu,” tulis marrhazmann_.

Ada juga pengguna skuterlagenda05 yang mencadangkan supaya bukti dikumpulkan sebelum tindakan lanjut diambil.

“Ambil gambar siang hari lokasi rumah tersebut,  lapor PDRM,” komennya.

Setakat ini, tiada pengesahan mengenai identiti individu yang didakwa menggunakan laser tersebut dan pihak berkuasa belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kejadian berkenaan.

+ - reset