TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Saya tak minat bertanding PRU16, berilah peluang kepada orang muda' - Tok Pa

By
|
Kongsi
image

 

PASIR MAS 5 Ogos - Bekas Ahli Parlimen Jeli, Mustapa Mohamed menegaskan beliau tidak berhasrat untuk kembali bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) meskipun telah menyertai semula UMNO.

Mustapa, yang lebih dikenali sebagai Tok Pa, berkata faktor usia menjadi sebab utama beliau memilih untuk berundur daripada politik aktif dan memberi ruang kepada pemimpin generasi baharu.

"Saya kini sudah berusia 76 tahun, jalan pun sudah goyang. Adalah tidak adil untuk mana-mana parti yang tidak menghargai peranan orang muda.

"Saya sudah keluar dari politik aktif dan saya tidak berminat untuk bertanding mana-mana PRU. Berilah kepada orang lain atau orang muda yang lebih layak.

"Sekarang ini ramai pengundi muda dan selera mereka lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Kepulangan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Sambutan Bulan Kemerdekaan yang dianjurkan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia Kelantan.

Turut hadir Yang Dipertua MUBARAK Kelantan, Datuk Mohd Rozali Isohak.

Mengulas peranannya selepas kembali menyertai UMNO, Mustapa berkata beliau akan membantu parti melalui pengalaman serta pandangan strategik, bukannya sebagai calon pilihan raya.

"Dari segi tenaga saya sudah tidak kuat seperti dulu, namun akan beri pandangan dan nasihat yang diperlukan. Saya juga akan menyertai program-program MUBARAK mengikut kesesuaian masa saya.

"Saya akan bersama dengan orang-orang lama dan kita mendoakan yang terbaik untuk negara kita," katanya.

Dalam pada itu, Mustapa turut memaklumkan beliau tidak berminat untuk memegang sebarang jawatan dalam parti.

"Saya tetap menyumbang kepada negara seperti di universiti awam dan swasta. Untuk jawatan dalam parti bagi lah kepada mereka yang layak," katanya.

+ - reset