Berita Berita
RM6,000 modal warga Myanmar untuk masuk Malaysia secara haram melalui laluan laut
KAJANG 12 Ogos - Seorang wanita warga Myanmar mendakwa membayar kira-kira RM6,000 kepada seorang tekong di Thailand bagi membolehkan dia bersama suami dan dua anak memasuki Malaysia secara haram melalui laluan laut.
Wanita berusia 37 tahun itu berkata, bayaran berkenaan dibuat untuk mengurus perjalanan keluarganya dari Myanmar sebelum mereka dibawa masuk melalui perairan Langkawi menggunakan bot.
“Kami sekeluarga bayar lebih kurang RM6,000 untuk datang ke Malaysia. Suami saya yang urus semua, bayar kepada orang Thailand dan bawa dari Myanmar sampai ke perairan Langkawi,” katanya ketika ditahan dalam Op Sasar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Apartment Suteramas, di sini, malam tadi.
Menurutnya, perjalanan mereka dilakukan secara berasingan apabila suaminya bersama anak lelaki berusia 14 tahun terlebih dahulu memasuki negara ini, sebelum dia dan anak perempuan berusia tujuh tahun menyusul kemudian.
Katanya, mereka sekeluarga sudah berada di Malaysia kira-kira setahun setengah dan kini sedang berusaha mendapatkan status daripada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Wanita berkenaan berkata, dia dan suaminya kini bekerja di sebuah kilang perabot di sekitar Kajang, selain menyewa sebuah bilik dengan bayaran RM500 sebulan.
Sementara itu, seorang lagi wanita warga Myanmar berusia 24 tahun mengaku membayar RM3,000 kepada seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai tekong darat bagi membantunya memasuki negara ini melalui laluan tidak sah.
Katanya, dia mengenali lelaki berkenaan melalui seorang rakan sebelum menggunakan khidmatnya untuk memasuki Malaysia melalui ‘laluan tikus’ di Sungai Golok, Kelantan kira-kira lima bulan lalu.
“Saya masuk melalui ‘laluan tikus’ di Sungai Golok, Kelantan sebelum meneruskan perjalanan dengan menaiki kereta. Saya sudah kira-kira lima bulan berada di Malaysia dan bekerja di kilang sekitar sini,” katanya.
Dalam pada itu, tinjauan di lokasi operasi mendapati terdapat warga asing yang cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.
Ada antara mereka bertindak bersembunyi di dalam unit kediaman, malah nekad terjun dari tingkat dua bangunan untuk meloloskan diri.
Operasi yang bermula kira-kira 10.30 malam itu menyaksikan seramai 330 individu diperiksa.
Daripada jumlah berkenaan, 248 warga asing ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Berita berkaitan
August 12, 2026, 8:17 pm
21 September keputusan permohonan isu awal saman Yusoff Rawther terhadap Anwar
August 12, 2026, 6:06 pm
Tun M, Dr Siti Hasmah cipta sejarah lakar tiga rekod baharu usia seabad
August 12, 2026, 5:59 pm
Pemandu lori sampah ditahan susulan kemalangan hempap tiga kenderaan di Pantai Hillpark
August 12, 2026, 5:52 pm
Laporan RCI Tabung Haji: Polis rakam keterangan 134 saksi, kesan 14 lagi di Indonesia
August 12, 2026, 5:47 pm
KKM saran tangguh aktiviti fizikal luar jika IPU melebihi 100
August 12, 2026, 4:10 pm
Mahkamah Kulim kecoh, dua OKT terlepas, seorang turun ikut tiang aras satu
August 12, 2026, 3:42 pm
Penjual burger didakwa rogol budak 12 tahun dalam kereta baru sehari kenal
August 12, 2026, 3:07 pm
Reman tiga pelarian Myanmar kes rogol wanita OKU disambung lima hari
August 12, 2026, 2:05 pm
