TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KKM saran tangguh aktiviti fizikal luar jika IPU melebihi 100

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA, 12 Ogos – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan supaya aktiviti sukan, kokurikulum dan kegiatan fizikal lasak di luar bangunan ditangguhkan atau dipindahkan ke ruang tertutup sekiranya bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di sesebuah kawasan melebihi paras 100.

KKM dalam satu kenyataan pada Rabu menggesa institusi pendidikan, agensi kerajaan dan pihak swasta supaya sentiasa memantau kualiti udara semasa dan menyesuaikan sebarang aktiviti mengikut keadaan.

Masyarakat juga dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti di luar, memakai pelitup muka yang sesuai sekiranya perlu keluar, serta mengelakkan sebarang pembakaran terbuka yang boleh memburukkan keadaan jerebu.

Bagi mengurangkan pendedahan kepada udara tercemar, KKM turut mengesyorkan langkah-langkah seperti menutup pintu dan tingkap rumah, mengelakkan perbuatan merokok di dalam bangunan, menggunakan alat penapis udara, serta mengaktifkan mod kitaran semula udara pada penyaman udara kenderaan.

Orang ramai juga diingatkan supaya kekal terhidrat dengan minum air secukupnya dan memberi perlindungan berwaspada kepada golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas serta pesakit kronik. Pesakit yang mengalami gejala seperti sesak nafas atau batuk berpanjangan digesa untuk segera mendapatkan rawatan.

Saranan itu dikeluarkan susulan peningkatan trend jerebu di mana 13 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat dan sangat tidak sihat. Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian, Sarawak mencatatkan kualiti udara terburuk pada tahap sangat tidak sihat iaitu 202 setakat jam 2 petang.

Beberapa kawasan lain di Sarawak turut terjejas teruk termasuk Samarahan (177), Sarikei (161), Sri Aman (158), Bintulu (155), Miri (152), Sibu (141) dan Samalaju (132). Manakala di Semenanjung, kawasan yang mencatatkan IPU tidak sihat merangkumi Putrajaya (125), Cheras (122), Shah Alam (109) dan Kuala Selangor (104).

Bagi mendepani situasi ini, KKM telah mempertingkatkan survelan penyakit berkaitan jerebu serta memastikan kesiapsiagaan fasiliti kesihatan, bekalan ubat-ubatan dan petugas berada pada tahap optimum. KKM juga terus bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi berkaitan bagi memantau perkembangan jerebu dari semasa ke semasa.

+ - reset