Berita Berita
Pemandu lori sampah ditahan susulan kemalangan hempap tiga kenderaan di Pantai Hillpark
KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Seorang pemandu lori sampah berusia 41 tahun berjaya dikesan pihak polis selepas kenderaan berat yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas dan menghempap tiga buah kereta di Jalan Pantai Murni 1, Pantai Hillpark, di sini awal pagi Rabu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 4.10 pagi.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati lori berkenaan yang sedang bergerak menuruni bukit di jalan lurus dipercayai mengalami kegagalan sistem brek.
"Kegagalan fungsi brek menyebabkan pemandu hilang kawalan lalu melanggar tembok pagar sebuah kondominium sebelum bahagian hadapan lori itu terjatuh dan menghempap tiga buah kereta yang diparkir di kawasan berkenaan.
"Kesemua kenderaan yang terjejas berada dalam keadaan kosong tanpa pemandu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sejurus kejadian, JSPT KL melancarkan tindakan pantas untuk mengesan pemandu terbabit yang tidak berada di lokasi dan akhirnya berjaya menemui suspek sedang menerima rawatan akibat kecederaan kaki kiri di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
Mohd Zamzuri menambah, dua pekerja warga Bangladesh berusia lingkungan 25 tahun yang sedang mengutip sampah di atas jalan berhampiran selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pemandu berkenaan kemudiannya hadir ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur kira-kira jam 3.15 petang bagi membuat laporan polis.
Ujian saringan hembusan nafas yang dijalankan mengesahkan pemandu bebas daripada pengaruh alkohol. Walau bagaimanapun, lori berkenaan akan dihantar ke PUSPAKOM bagi pemeriksaan teknikal untuk mengenal pasti punca sebenar kegagalan brek.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Berita berkaitan
August 12, 2026, 6:06 pm
Tun M, Dr Siti Hasmah cipta sejarah cipta tiga rekod baharu usia seabad
August 12, 2026, 5:52 pm
Laporan RCI Tabung Haji: Polis rakam keterangan 134 saksi, kesan 14 lagi di Indonesia
August 12, 2026, 5:47 pm
KKM saran tangguh aktiviti fizikal luar jika IPU melebihi 100
August 12, 2026, 4:10 pm
Mahkamah Kulim kecoh, dua OKT terlepas, seorang turun ikut tiang aras satu
August 12, 2026, 3:42 pm
Penjual burger didakwa rogol budak 12 tahun dalam kereta baru sehari kenal
August 12, 2026, 3:07 pm
Reman tiga pelarian Myanmar kes rogol wanita OKU disambung lima hari
August 12, 2026, 2:42 pm
RM6,000 modal warga Myanmar untuk masuk Malaysia secara haram melalui laluan laut
August 12, 2026, 2:05 pm
