TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ibu kutu mengaku bersalah anjur kumpulan wang kutu, libatkan 52 peserta

By
|
Kongsi
image

 

ALOR SETAR 12 Ogos – Seorang peniaga makanan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menganjurkan kumpulan wang kutu membabitkan 52 peserta, dalam tempoh setahun bermula Julai tahun lalu hingga bulan lepas.

Tertuduh, Siti Zulaika Ahmad Sabri, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 22 September depan untuk fakta kes dan hukuman terhadap tertuduh.

Mengikut pertuduhan, wanita yang beralamat di Kampung Padang Satu, Bukit Kayu Hitam, dekat sini, itu didakwa menganjurkan kumpulan wang kutu dengan setiap peserta dikehendaki membayar wang tunai kepada kumpulan berkenaan.

Perbuatan itu didakwa berlaku dari Julai 2025 hingga bulan lalu dan membabitkan 52 peserta berusia antara 24 hingga 62 tahun.

Penganjuran kumpulan wang kutu berkenaan adalah dilarang mengikut Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 (Akta 28).

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 3 Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin dan Vatchira Wong Rui Fern, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam prosiding itu, Muhammad Fahmi mencadangkan jaminan sebanyak RM100,000 terhadap Siti Zulaika dengan mengambil kira nilai kerugian kes yang tinggi iaitu melebihi RM1 juta.

Beliau turut mencadangkan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu, mendekati atau menghubungi mangsa dalam kes berkenaan, selain pasport atau pas sempadan diserahkan kepada pihak mahkamah.

Sharmila kemudian bertanyakan kepada tertuduh sama ada dia mahu menyatakan sesuatu berhubung jaminan yang dicadangkan itu, namun wanita berkenaan hanya menjawab tiada apa.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 22 September depan untuk fakta kes dan hukuman.

Dalam perkembangan berkaitan, suami tertuduh yang berusia 39 tahun direman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes di daerah Kota Setar.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali.

Media pada 4 Ogos lalu melaporkan tiga beranak dari Bukit Kayu Hitam, dekat sini, dilaporkan hilang sejak 20 Julai lalu sebelum polis tidak menolak kemungkinan kehilangan itu mempunyai kaitan dengan hutang permainan kutu.

Pasangan suami isteri berusia 39 dan 36 tahun itu kemudian tampil menyerahkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, Jitra pada 6 Ogos lalu sebelum kedua-duanya direman.

Sebanyak 35 laporan polis dibuat mangsa berusia antara 23 hingga 53 tahun terhadap wanita terbabit berhubung dakwaan penipuan wang permainan kutu yang membabitkan kerugian keseluruhan RM1.7 juta.

+ - reset