TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Usaha Kedah pertahan arahan henti lesen perjudian tidak berjaya, Mahkamah Persekutuan tolak permohonan rayuan

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 12 Ogos - Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung arahan negeri itu mengenai pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan perjudian.

Keputusan itu sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan arahan Kerajaan Kedah berhubung perkara berkenaan adalah ultra vires atau di luar bidang kuasa, selain tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pada 12 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan menerusi keputusan majoriti 2-1 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar yang mendapati arahan Kerajaan Kedah supaya lesen perniagaan perjudian tidak dikeluarkan atau diperbaharui adalah tidak berperlembagaan.

Dalam prosiding hari ini, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang sebulat suara menolak permohonan kerajaan negeri itu untuk mendapatkan kebenaran merayu.

Panel turut dianggotai hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin.

Mahkamah turut memerintahkan kerajaan Kedah membayar kos sebanyak RM50,000.

Panel berpendapat permohonan kebenaran merayu berkenaan tidak memenuhi kehendak Seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Dengan keputusan itu, keputusan Mahkamah Rayuan berhubung arahan Kerajaan Kedah mengenai lesen perjudian kekal berkuat kuasa.

+ - reset