TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki selamba buat aksi lucah di perpustakaan, siap curi duit pembantu pustakawan RM390

By
|
Kongsi
image

ARAU, 12 Ogos – Seorang pembantu pustakawan berdepan detik meloyakan apabila seorang lelaki bertindak melakukan perbuatan lucah di Perpustakaan Desa Padang Siding, di sini, sebelum melarikan wang tunai milik mangsa berjumlah RM390 pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika mangsa, seorang wanita berusia 37 tahun, sedang bertugas sendirian di kaunter perpustakaan berkenaan.

Siasatan awal mendapati suspek masuk ke dalam premis lalu duduk di sebuah sofa berhampiran kaunter. Selepas berdua-duaan dan berbual seketika, mangsa menyedari lelaki berkenaan mula melakukan perbuatan tidak senonoh.

"Panik dengan tindakan jelik itu, mangsa berlari keluar dari perpustakaan bagi mendapatkan bantuan daripada seorang pembantu Tadika KEMAS berhampiran untuk menghalau suspek.

"Apabila mangsa kembali bersama rakannya, suspek didapati masih melakukan perbuatan tersebut sebelum mereka bertindak menghalaunya keluar dari bangunan," katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Mohsin menambah, pemeriksaan lanjut oleh mangsa mendapati wang tunai RM390 dalam dompetnya yang diletakkan di bawah kaunter telah hilang, dipercayai dicuri suspek sewaktu mangsa keluar meminta pertolongan.

Suspek yang berpakaian serba hitam dilapor melarikan diri menggunakan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR berwarna kelabu tanpa nombor pendaftaran yang pasti.

Pihak polis kini giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan serta Seksyen 509 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mengaibkan kehormatan.

+ - reset