TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua pelajar MRSM Alor Gajah hilang, polis minta bantuan orang ramai

By
|
Kongsi
image

 

ALOR GAJAH 14 Ogos – Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan dua pelajar Tingkatan Empat Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Alor Gajah, Melaka yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang guru mengenai kehilangan Siti Nur Aaira Aidi, 16, dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad, 16, pada jam 10.46 malam, 11 Ogos lalu.

“Siti Nur Aaira mempunyai ketinggian 157 sentimeter serta berat 50 kilogram, berkulit gelap dan beralamat di Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Selangor.

“Manakala Nur Aisy Humaira mempunyai ketinggian serta berat sama dan berkulit cerah dengan terakhirnya adalah di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Berdasarkan maklumat poster yang tular berkaitan kes berkenaan, lokasi terakhir kedua-dua pelajar itu dilihat adalah di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur.

Siti Nur Aaira dilaporkan kali terakhir dilihat memakai baju berwarna hitam, berkulit cerah sederhana atau kacukan, berbadan kurus serta tinggi.

Nur Aisy Humaira pula kali terakhir dilihat berpakaian gelap.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat memohon doa dan kerjasama masyarakat agar kedua-dua pelajar berkenaan dapat ditemui serta kembali ke pangkuan keluarga masing-masing dengan selamat.

Di pagi Jumaat barakah ini tolong doakan agar dua pelajar MRSM Alor Gajah Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad yang hilang kembali semula ke pangkuan keluarga masing-masing dengan selamat, " katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kedua-dua individu itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Shahrul Izwan Mohd Suffian di talian 017-8180106 atau melaporkan kepada balai polis berhampiran.

Maklumat juga boleh disalurkan kepada waris menerusi talian 013-299 4303 (Ibu), 019-765 2404 (Ayah) dan 019-237 0810 (Nisa - Ibu).

Orang ramai diminta segera menyalurkan sebarang maklumat yang boleh membantu usaha mengesan kedua-dua remaja berkenaan kepada pihak polis atau mana-mana balai polis berhampiran.

+ - reset