TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Penunggang motosikal maut rempuh lori kehabisan minyak di bahu jalan

By
|
Kongsi
image

TUMPAT, 17 Ogos – Seorang penunggang motosikal maut selepas dipercayai merempuh bahagian belakang sebuah lori yang diparkir di bahu jalan di Jalan Kota Bharu-Pengkalan Kubor, berhampiran susur jejambat Wakaf Bharu, di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dari arah Kota Bharu menghala ke Pengkalan Kubor sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, pihaknya menerima makluman berhubung insiden kemalangan maut berkenaan daripada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat kira-kira pukul 5.30 petang.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa yang sedang melalui kawasan selekoh di susur jejambat berkenaan dipercayai terlanggar bahagian belakang sebelah kanan lori tersebut.

Lori berkenaan difahamkan telah ditinggalkan oleh pemandunya dan diparkir di bahu kiri jalan akibat mengalami krisis kehabisan minyak.

Akibat rempuhan kuat tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian dada sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir bertugas.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat dan punca kematian disahkan berpunca daripada 'multiple fatal injury due to motor vehicle accident'.

Beliau menambah, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengena pasti punca sebenar insiden tersebut.

Pihak polis turut menyeru mana-mana orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 09-7257222 atau hadir terus ke Pejabat Trafik IPD Tumpat, di samping menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati serta mematuhi peraturan lalu lintas.

+ - reset