Berita Berita
Kes Rocky: Bukan hanya Muhammad Shah akan didakwa esok, ada lagi beberapa pihak termasuk PBT - Polis
SHAH ALAM 19 Ogos - Polis menerima arahan pertuduhan berhubung kes kekecohan ketika operasi penangkapan anjing liar yang membawa kepada kematian anjing dikenali sebagai Rocky, untuk prosiding di Mahkamah Majistret Klang, esok.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, arahan tersebut diterima daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) selepas siasatan berhubung kes berkenaan selesai dijalankan.
“Insya-Allah, esok dijangka akan diadakan pertuduhan di Mahkamah Majistret Klang. Saya mohon rakan media merujuk pihak mahkamah bagi mendapatkan waktu sebenar pertuduhan.
“Pertuduhan ini dijangka bukan sahaja membabitkan pihak polis, malah agensi penguat kuasa lain juga,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut sama ada pertuduhan itu membabitkan lelaki dan wanita yang sebelum ini dikaitkan dengan kes berkenaan, termasuk seksyen undang-undang yang akan digunakan.
Dalam pada itu, Shazeli menasihatkan orang ramai supaya tidak mengadakan sebarang perhimpunan atau tunjuk perasaan berkaitan kes berkenaan.
Katanya, siasatan sudah dijalankan secara menyeluruh dan pihak polis sudah mengenal pasti individu yang bertanggungjawab.
“Siasatan yang kami jalankan ini telah membawa kepada arahan pertuduhan esok. Ini menunjukkan bahawa kita tidak berpihak mana-mana pihak.
” Selagi ada yang melanggar undang-undang, kita akan jalankan siasatan dan mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang.
“Justeru, pada masyarakat, berilah kepercayaan dan ruang kepada perundangan untuk melaksanakan bahagiannya. Tidak perlu hadir (untuk membuat perhimpunan),” jelasnya.
Mengenai kawalan keselamatan, Shazeli berkata, polis sememangnya menjalankan kawalan di kawasan mahkamah, termasuk memastikan ketenteraman awam sepanjang prosiding.
Beliau menegaskan orang ramai yang hadir esok supaya mematuhi arahan polis dan tidak mencetuskan sebarang kekecohan.
“Biarlah undang-undang menjalankan tugasnya,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan polis menjalankan siasatan berhubung kes tersebut di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana kesalahan khianat dengan membunuh haiwan.
Terdahulu, pemuda yang terpalit dalam kekecohan operasi penangkapan Rocky yang membawa kematian anjing itu akan didakwa oleh pihak Jabatan Veterinar di Mahkamah Klang, esok. – KOSMO! ONLINE
Berita berkaitan
August 19, 2026, 6:29 pm
Kisah pengorbanan pekerja pembersihan besarkan 5 anak sentuh hati PM
August 19, 2026, 6:18 pm
Diesel naik 20 sen, RON95 naik 15 sen
August 19, 2026, 6:11 pm
Saifuddin arah Imigresen beri kerjasama penuh siasatan kemalangan maut tiga beranak
August 19, 2026, 6:06 pm
Didakwa terima rasuah, Rafizi ambil tindakan saman Caprice
August 19, 2026, 3:37 pm
MYRIDERID percuma, PERKESO sedia identiti kecemasan digital untuk penunggang motosikal
August 19, 2026, 2:54 pm
Bekas CEO bank pelaburan didakwa tipu RM139.8 juta
August 19, 2026, 1:38 pm
Dendam isu nombor ramalan motif wanita disimbah petrol, dibakar di Kepong
August 19, 2026, 1:21 pm
