TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Didakwa terima rasuah, Rafizi ambil tindakan saman Caprice

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 19 Ogos – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli telah memfailkan saman terhadap penyanyi rap dan pempengaruh media sosial, Caprice berhubung dakwaan menerima rasuah membabitkan sebuah projek swasta.

Presiden Parti Bersama Malaysia (Bersama) itu mendedahkan, tindakan undang-undang berkenaan telah difailkan lebih awal dan kes tersebut kini dalam prosiding mahkamah.

Menurutnya, langkah itu diambil susulan penyebaran dakwaan palsu oleh Caprice pada Februari lalu yang mengaitkan dirinya dengan rasuah dalam satu projek yang tiada kaitan dengannya mahupun kementeriannya sebelum ini.

"Dia panggil sidang media mengumumkan yang dia saman saya dan ketika itu ramai mengejek kononnya saya tidak berani saman Caprice. Sebenarnya sudah lama saya saman atas tuduhan itu, cuma tidak cakap (dihebahkan) dan kes sedang berjalan di mahkamah ketika ini," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Rafizi menjelaskan, ini merupakan kali pertama beliau mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang melontarkan fitnah sepanjang puluhan tahun penglibatannya dalam gelanggang politik.

Beliau menegaskan, biarpun berdepan pelbagai tohmahan dan seteru politik sebelum ini, beliau tidak pernah dituduh menerima rasuah serta sering mengambil pendekatan menyerahkan urusan fitnah tersebut kepada Allah.

"Jadi saya tiada pilihan dan terpaksa saman untuk kali pertama dalam hidup. Sekarang kita serahkan kepada peguam dan proses mahkamah," jelasnya.

Terdahulu pada Februari lepas, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli dilaporkan memfailkan saman fitnah menuntut ganti rugi RM10 juta terhadap Rafizi selepas tokoh politik itu didakwa gagal memohon maaf serta memadamkan hantaran yang mengandungi tuduhan berbaur fitnah di media sosial.

+ - reset