Berita Berita
Saifuddin arah Imigresen beri kerjasama penuh siasatan kemalangan maut tiga beranak
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung siasatan nahas membabitkan lori jabatan itu yang meragut tiga nyawa sekeluarga, awal pagi tadi.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, langkah berkenaan penting bagi memastikan segala fakta berkaitan insiden terbabit dapat diperjelaskan secara telus.
"Sekiranya siasatan mendapati wujud kecuaian, salah laku atau pelanggaran undang-undang, tindakan tegas hendaklah diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Sambil menzahirkan rasa dukacita, Saifuddin Nasution turut menyampaikan ucapan takziah serta mendoakan ketabahan buat seluruh ahli keluarga mangsa yang terlibat.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, tiga pejalan kaki daripada satu keluarga maut manakala seorang lagi cedera parah selepas dirempuh lori jenis Isuzu Black Maria milik JIM di Jalan Sultan Ismail.
Siasatan awal mendapati kenderaan tugas rasmi tanpa muatan yang menuju ke Chow Kit bagi operasi penguatkuasaan itu dipandu masuk ke persimpangan semasa lampu isyarat merah dengan lampu suar serta siren diaktifkan.
Lori berkenaan kemudian bertembung dengan sebuah Proton Saga yang bergerak dari arah lampu hijau, menyebabkan ia hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh mangsa serta sebuah kereta lain. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Berita berkaitan
August 19, 2026, 6:29 pm
Kisah pengorbanan pekerja pembersihan besarkan 5 anak sentuh hati PM
August 19, 2026, 6:18 pm
Diesel naik 20 sen, RON95 naik 15 sen
August 19, 2026, 6:06 pm
Didakwa terima rasuah, Rafizi ambil tindakan saman Caprice
August 19, 2026, 3:37 pm
MYRIDERID percuma, PERKESO sedia identiti kecemasan digital untuk penunggang motosikal
August 19, 2026, 2:54 pm
Bekas CEO bank pelaburan didakwa tipu RM139.8 juta
August 19, 2026, 2:10 pm
Kes Rocky: Bukan hanya Muhammad Shah akan didakwa esok, ada lagi beberapa pihak termasuk PBT - Polis
August 19, 2026, 1:38 pm
Dendam isu nombor ramalan motif wanita disimbah petrol, dibakar di Kepong
August 19, 2026, 1:21 pm
