TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bekas CEO bank pelaburan didakwa tipu RM139.8 juta

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah bank pelaburan berdepan pertuduhan menipu membabitkan pembayaran RM139.8 juta kepada sebuah syarikat pengurusan universiti swasta.

Razlan Raghazli, 43, bekas CEO UBB Investment Bank Limited, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Mengikut pertuduhan, Razlan didakwa menipu Pengarah Urusan merangkap CEO UBB Amanah Bhd, Aida Aizura Othman, 52, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa jadual pembayaran di dalam surat UBB Investment Bank Limited adalah selaras dengan nasihat guaman.

Surat “Disbursement Advice on Islamic Property Financing Under Bai-Bithaman Ajil (BBA)” bertarikh 18 Sept 2025 itu ditandatangani Razlan dengan menyatakan ia mengikut nasihat peguam daripada sebuah firma guaman.

Lelaki itu bagaimanapun didakwa mengetahui bahawa jadual pembayaran tersebut bercanggah dengan nasihat yang diberikan.

Perbuatan itu didakwa menyebabkan Aida Aizura melepaskan pembayaran wang berjumlah RM139,891,776 kepada ELMU Higher Education Sdn Bhd yang tidak akan dilakukan jika tidak diperdayakan.

Kesalahan didakwa dilakukan di bank itu di Desa Sri Hartamas, di sini pada September 2025 dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Hazel Tan Jia Qi menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan dilarang mengganggu atau berkomunikasi dengan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam Azamuddin Abdul Aziz memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM50,000 atas alasan Razlan tidak bekerja sejak Jun lepas dan perlu menanggung empat anak serta ibu yang uzur.

Azura membenarkan jaminan RM60,000 berserta syarat tambahan dimohon pendakwaan dan menetapkan 12 Okt untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Dalam pada itu, peguam pemerhati bagi UBB, Johan Mohan Abdullah memohon mahkamah mengeluarkan perintah supaya media tidak menamakan institusi kewangan berkenaan dalam pelaporan berita.

Beliau berkata, laporan yang menamakan institusi kewangan itu dikhuatiri boleh menjejaskan kestabilan kewangan dan mencetuskan panik dalam kalangan pendeposit.

Bagaimanapun, Azura menegaskan, orang awam mempunyai hak untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai kes itu.

 

+ - reset