TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kisah pengorbanan pekerja pembersihan besarkan 5 anak sentuh hati PM

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Pengorbanan seorang pekerja pembersihan, M. Kavita yang gigih membesarkan lima anaknya sehingga berjaya dalam kerjaya masing-masing mendapat perhatian dan penghargaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar menerusi hantaran di Facebook mendedahkan, segala penat lelah Kavita selama lebih 12 tahun meredah pelbagai cabaran akhirnya membuah hasil apabila anak-anaknya kini berkhidmat sebagai profesional, antaranya dalam bidang penerbangan dan kejururawatan.

"Semoga saudari Kavita dan seluruh warga pekerja pembersihan terus diberikan kekuatan, kesihatan dan penghormatan yang selayaknya. Terima kasih atas segala bakti dan keringat dalam menjaga kebersihan serta kesejahteraan kita semua," katanya hari ini.

Kegigihan Kavita turut dijulang menerusi penganugerahan Anugerah Khas pada Majlis Apresiasi Hari Pekerja Pembersihan 2026 anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), semalam.

Kisah ibu berkenaan sebelum ini tular di media sosial selepas menerima kejutan sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-50 daripada anak-anaknya yang hadir menyapa beliau di tempat kerja dengan memakai pakaian seragam kerjaya masing-masing.

+ - reset