Berita Berita
MYRIDERID percuma, PERKESO sedia identiti kecemasan digital untuk penunggang motosikal
KUALA LUMPUR 19 Ogos - Penunggang motosikal kini boleh mengakses maklumat penting ketika kecemasan dengan lebih pantas menerusi sistem pengenalan kecemasan digital MYRIDERID yang diperkenalkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Sebagai permulaan, PERKESO mengagihkan 1,000 sistem MYRIDERID secara percuma kepada pencarum bersempena majlis pelancarannya di Stadium Negeri Pulau Pinang.
Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PERKESO memperkukuh perlindungan serta keselamatan penunggang motosikal di seluruh negara menerusi Kempen Penunggang Malaysia (MYRider).
MYRIDERID berfungsi sebagai identiti kecemasan digital yang menyimpan pelbagai maklumat penting penunggang, termasuk kontak kecemasan dan maklumat kesihatan peribadi.
Maklumat berkenaan boleh diakses dengan pantas oleh pihak berkaitan menerusi imbasan kod QR sekiranya berlaku kejadian tidak diingini seperti kemalangan atau kecemasan di jalan raya.
PERKESO dalam kenyataan berkata, pelaksanaan sistem baharu itu amat bertepatan dengan slogan "Maklumat Tepat, Nyawa Selamat" yang memanfaatkan sepenuhnya kemajuan teknologi digital.
"Penggunaan kod QR itu membolehkan maklumat kritikal dicapai dalam tempoh singkat, sekali gus menyokong pengurusan serta respons kecemasan pasca kemalangan yang jauh lebih cekap dan efektif," katanya.
Menurutnya, usaha pemantapan itu juga merupakan sebahagian daripada pendekatan keselamatan jalan raya yang komprehensif oleh PERKESO, merangkumi aspek pencegahan, perlindungan dan respons.
"Langkah inovatif ini diambil rentetan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menunjukkan penunggang motosikal terus kekal sebagai kumpulan pengguna jalan raya paling berisiko tinggi di negara ini.
"Berdasarkan data PDRM, penunggang motosikal merangkumi 65 peratus daripada 6,581 kes kematian keseluruhan yang direkodkan di jalan raya sepanjang tahun 2025," katanya.
Menurutnya, inovasi MYRIDERID itu diyakini mampu menyelamatkan nyawa dengan memastikan maklumat penting pencarum dapat dicapai pada saat paling kritikal, di samping menzahirkan komitmen PERKESO dalam meneroka nilai tambah perlindungan sosial.
Sementara itu, dalam majlis sama, PERKESO turut mengadakan pertukaran Memorandum Kolaborasi (MoC) bersama Boon Siew Honda Sdn Bhd dan MForce Bike Holdings Sdn Bhd bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam mempromosikan keselamatan motosikal.
Kolaborasi itu akan memberi tumpuan kepada program advokasi, pendidikan dan pembudayaan keselamatan jalan raya yang menyokong aspirasi melahirkan penunggang Malaysia yang selamat, berhemah dan bermaruah.
Program pelancaran itu turut dihadiri Ketua Bahagian Perubatan, Pencegahan dan Pemulihan PERKESO, Dr Azlan Darus; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Kunitomo Asano serta Ketua Pegawai Operasi MForce Bike Holdings, Asri Ahmad.
Berita berkaitan
August 19, 2026, 6:29 pm
Kisah pengorbanan pekerja pembersihan besarkan 5 anak sentuh hati PM
August 19, 2026, 6:18 pm
Diesel naik 20 sen, RON95 naik 15 sen
August 19, 2026, 6:11 pm
Saifuddin arah Imigresen beri kerjasama penuh siasatan kemalangan maut tiga beranak
August 19, 2026, 6:06 pm
Didakwa terima rasuah, Rafizi ambil tindakan saman Caprice
August 19, 2026, 2:54 pm
Bekas CEO bank pelaburan didakwa tipu RM139.8 juta
August 19, 2026, 2:10 pm
Kes Rocky: Bukan hanya Muhammad Shah akan didakwa esok, ada lagi beberapa pihak termasuk PBT - Polis
August 19, 2026, 1:38 pm
Dendam isu nombor ramalan motif wanita disimbah petrol, dibakar di Kepong
August 19, 2026, 1:21 pm
