Berita Berita
Kes denggi melonjak lebih 50 peratus babit 55 kematian, KKM laksana tindakan pencegahan, kawalan intensif
KUALA LUMPUR 21 Ogos - Malaysia merekodkan 58,079 kes demam denggi sehingga Minggu Epidemiologi ke-32 (ME32) tahun ini, meningkat 56.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan itu turut menyaksikan 55 kematian akibat komplikasi demam denggi, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).
KKM berkata, peningkatan kes berkenaan menyebabkan tindakan pencegahan dan kawalan secara intensif serta berfokus terus dipergiat bagi membendung penularan penyakit itu.
“Malaysia kini berhadapan dengan peningkatan kes demam denggi. Susulan itu, KKM telah melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan secara intensif dan berfokus.
”Ini termasuk pengesanan awal kes, kawalan vektor, pengurusan wabak serta mobilisasi anggota bagi memperkukuh kapasiti respons di lapangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kementerian itu, peningkatan kes pada peringkat awal banyak tertumpu di Lembah Klang, khususnya Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Tindakan yang dipergiatkan mula menunjukkan perkembangan positif di Lembah Klang, namun risiko penularan denggi masih tinggi dan situasi di peringkat nasional kekal membimbangkan.
Peningkatan kes kini turut dikesan di beberapa negeri lain, dengan Johor merekodkan 8,639 kes sehingga 15 Ogos berbanding 4,140 kes dalam tempoh sama tahun lalu, meningkat 109 peratus.
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pula mencatat 10,316 kes berbanding 5,013 kes tahun lalu, meningkat 106 peratus, manakala Selangor merekodkan 25,090 kes, naik 61 peratus daripada 15,610 kes.
KKM berkata, peningkatan kes dipengaruhi pelbagai faktor termasuk keadaan cuaca tidak menentu apabila taburan hujan yang diselang-seli cuaca panas mewujudkan persekitaran kondusif untuk pembiakan nyamuk Aedes.
“Kewujudan banyak bekas menakung air yang tidak diselenggara di kawasan kediaman dan persekitaran juga menyumbang kepada peningkatan risiko pembiakan nyamuk Aedes dan penularan demam denggi,” ujarnya.
KKM menegaskan pencegahan dan kawalan denggi memerlukan pendekatan seluruh masyarakat kerana lebih 70 peratus tempat pembiakan Aedes masih ditemui di kawasan kediaman.
Sehubungan itu, kementerian menyeru orang ramai memperuntukkan sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu untuk memeriksa dan memusnahkan tempat pembiakan Aedes di dalam serta sekitar kediaman.
Orang ramai turut dinasihatkan mengambil langkah perlindungan daripada gigitan nyamuk dan mendapatkan pemeriksaan serta rawatan segera sekiranya mengalami demam atau tanda-tanda amaran demam denggi.
KKM berkata, pihaknya akan terus memantau situasi secara rapi dan menyesuaikan intervensi berdasarkan perkembangan epidemiologi semasa bagi memastikan usaha pencegahan dan kawalan denggi dapat dilaksanakan secara berterusan dan berkesan.
Berita berkaitan
August 21, 2026, 10:07 am
Dua penunggang basikal maut dirempuh kereta di Jalan Persiaran Selatan Putrajaya
August 21, 2026, 9:52 am
Lelaki warga asing didakwa hina Islam di Mahkamah Majistret Johor Bahru
August 21, 2026, 9:51 am
Wanita maut lepas cuba selamatkan ahli keluarga dalam kebakaran di Kota Kinabalu
August 20, 2026, 8:38 pm
Polis siasat cubaan samun bersenjata api di kedai emas Jalan Tengku Kelana
August 20, 2026, 8:32 pm
PM dijangka buat pengumuman penting malam ambang merdeka, Hari Malaysia
August 20, 2026, 8:26 pm
JPJ Perak tahan 190 kenderaan mewah tiada cukai jalan, insurans menerusi Op Luxury
August 20, 2026, 8:22 pm
