TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Wanita maut lepas cuba selamatkan ahli keluarga dalam kebakaran di Kota Kinabalu

By
|
Kongsi
image

KOTA KINABALU 21 OGOS – Keberanian seorang wanita meluru masuk ke dalam rumah yang sedang membara demi menyelamatkan nenek dan bapa saudaranya berakhir tragedi duka apabila dia ditemui rentung bersama dua ahli keluarganya itu di Kampung Darau, Menggatal, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.43 pagi itu, Nurul Asyiqin Alinor, 29, yang pada mulanya berada di tempat selamat, bertindak berani masuk semula ke dalam rumah dua tingkat itu.

Tindakan itu diambil sejurus mendapati neneknya, Loupin Adow, 67, dan bapa saudaranya, Azman Maduin, 53, masih terperangkap di dalam kediaman berkeluasan 40 x 40 kaki persegi yang sudah 100 peratus dimakan api.  

Malangnya, percubaan murni itu menyebabkannya turut terperangkap bersama ahli keluarganya. 

Seorang lagi mangsa, Stanley@Mohd Hairi Taopit, 34, yang merupakan suami kepada Nurul Asyiqin, mengalami kecederaan melecur ketika bergelut menyelamatkan diri dari dalam rumah.  

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 sebelum jentera pertama tiba di lokasi pada pukul 1.50 pagi. 

Pasukan bomba melancarkan pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dan dua pancutan air sehingga kebakaran berjaya dikawal pada pukul 2.10 pagi.

Pemeriksaan lanjut di lokasi penemuan menjumpai salah seorang mangsa rentung di dalam bilik tidur, manakala dua lagi mangsa ditemui berhampiran pintu keluar menuju ke tangga, dipercayai sewaktu cuba meloloskan diri.

Mangsa yang melecur dihantar ke hospital dengan jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) bagi mendapatkan rawatan lanjut. 

Kesemua mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 5.19 pagi selepas dipastikan tiada bahaya lain di lokasi.  

+ - reset