TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

JPJ Perak tahan 190 kenderaan mewah tiada cukai jalan, insurans menerusi Op Luxury

By
|
Kongsi
image

IPOH, 20 Ogos – Sebanyak 190 kenderaan mewah ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak menerusi pelaksanaan Op Luxury di seluruh negeri ini sejak 1 Januari hingga hari ini atas kesalahan tiada cukai jalan dan perlindungan insurans yang sah.

Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 121 kenderaan telah dilepaskan selepas pemilik menyelesaikan saman serta memperbaharui dokumen terbabit, manakala 69 lagi masih disita di lima cawangan JPJ negeri.

Beliau menzahirkan rasa kesal terhadap segelintir pemilik kenderaan mewah yang mampu memiliki kereta berprestij namun culas mematuhi peraturan asas keselamatan jalan raya.

"Ini sikap segelintir individu yang mahu menunjuk-nunjuk dan mampu membeli kenderaan mewah, namun enggan menanggung kos memperbaharui insurans serta cukai jalan.

"Ketiadaan insurans ini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menafikan hak pampasan kepada mangsa lain sekiranya berlaku kemalangan," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Tindakan ke atas pemilik dan pemandu kenderaan terbabit diambil mengikut Seksyen 23(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan tiada lesen kenderaan motor serta Seksyen 90(1) akta sama kerana ketiadaan perlindungan insurans.

Beliau menegaskan, saman bukan sahaja dikeluarkan kepada pemandu, malah pemilik kenderaan turut berdepan tindakan saman berasingan sekiranya membenarkan kenderaan mereka dipandu tanpa perlindungan dan dokumen sah.

+ - reset