TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua penunggang basikal maut dirempuh kereta di Jalan Persiaran Selatan Putrajaya

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA, 21 Ogos – Dua penunggang basikal lelaki warga tempatan maut selepas dirempuh sebuah kereta di Kilometer 9.0 Jalan Persiaran Selatan, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.15 malam membabitkan sebuah kenderaan yang dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an bersama dua penunggang basikal berusia lingkungan 30-an dan 40-an.

"Siasatan awal mendapati kenderaan terbabit telah mengubah haluan dari lorong tengah ke lorong kiri sebelum merempuh kedua-dua mangsa.

"Akibat perlanggaran itu, kedua-dua penunggang basikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian susulan kecederaan parah pada bahagian muka dan kepala," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai atau saksi yang menyaksikan kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Balai Polis Trafik Putrajaya di talian 03-88862138 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

+ - reset