Berita Berita
KPM teliti beri merit kokurikulum kepada pelajar institusi penjara untuk masuk universiti - Fadhlina
KAJANG, 20 Ogos – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti langkah memperuntukkan markah merit kokurikulum dan sukan kepada pelajar di institusi penjara bagi membantu kelayakan permohonan kemasukan ke peringkat universiti.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, usaha berkenaan penting bagi memastikan pelajar di sekolah integriti dan Sekolah Henry Gurney berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Kita akan tengok markah penglibatan dalam kokurikulum untuk dipertimbangkan supaya selepas anak-anak selesai SPM, merit itu boleh membantu mereka menyambung pengajian ke peringkat seterusnya," katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Hijrah Kasih ke-17 di sini, hari ini.
Selain merit kokurikulum, KPM turut merancang perbincangan bersama bahagian latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi menawarkan sijil kemahiran diiktiraf kepada pelajar yang mengikuti modul vokasional seperti jahitan dan pembuatan makanan.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa pelajar sekolah dalam institusi penjara berjaya merekodkan kadar kelulusan SPM 100 peratus bagi dua tahun berturut-turut, membuktikan kekangan fasiliti bukan penghalang kepada kecemerlangan akademik.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Datuk Zainal Abas memaklumkan KPM menyasarkan pengiktirafan markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dapat dilaksanakan tahun ini bagi membolehkan calon SPM memperoleh merit 10 peratus.
KPM juga sedang memperluas capaian pelantar pembelajaran Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) secara terkawal kepada guru dan pelajar di institusi berkenaan bagi memastikan akses bahan digital setara dengan sekolah arus perdana.
Berita berkaitan
August 20, 2026, 8:38 pm
Polis siasat cubaan samun bersenjata api di kedai emas Jalan Tengku Kelana
August 20, 2026, 8:32 pm
PM dijangka buat pengumuman penting malam ambang merdeka, Hari Malaysia
August 20, 2026, 8:26 pm
JPJ Perak tahan 190 kenderaan mewah tiada cukai jalan, insurans menerusi Op Luxury
August 20, 2026, 5:56 pm
JSPT beri amaran, lampu beacon, siren bukan tiket abaikan keselamatan orang awam
August 20, 2026, 3:00 pm
