Berita Berita
'Perkara ini tidak akan berlaku di negeri bawah Kerajaan Peraduan!' - Rayer kecam perobohan Kuil Veeramakaliamman, dakwa PN Perlis tidak sensitif
KUALA LUMPUR 21 Ogos - Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mengecam tindakan kerajaan negeri Perlis merobohkan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi, Kangar, yang didakwa mencetuskan rasa tidak puas hati dan kegusaran dalam kalangan masyarakat khususnya penganut Hindu.
Rayer yang juga Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang berkata, tindakan itu tidak sepatutnya berlaku dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang amat menyedihkan.
"Saya mengutuk dengan sekeras-kerasnya tindakan kerajaan Perlis merobohkan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi, Kangar, Perlis.
"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan adalah amat menyedihkan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya, Perlembagaan Persekutuan menjamin dan melindungi hak rakyat untuk menganuti agama selain Islam yang merupakan agama rasmi negara dan perkara itu perlu dihormati oleh kerajaan negeri Perlis.
Rayer turut mendakwa tindakan sedemikian tidak akan berlaku di Pulau Pinang, Selangor dan negeri-negeri di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan Persekutuan.
Beliau pada masa sama mendakwa Perikatan Nasional (PN) tidak wajar diberi peluang mentadbir negara di peringkat Persekutuan kerana didakwa tidak sensitif serta tidak bertimbang rasa terhadap masyarakat majmuk, termasuk penganut agama Hindu.
"Rakyat Malaysia juga perlu sedar bahawa Perikatan Nasional tidak boleh menjadi kerajaan di peringkat nasional dan mentadbir negara ini kerana Perikatan Nasional tidak sensitif dan tidak bertimbangrasa terhadap masyarakat majmuk, kaum dan agama lain seperti agama Hindu dan ini boleh kita lihat dari tindakan kerajaan Perikatan Nasional Perlis hari ini yang merobohkan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi, Kangar, Perlis," katanya.
Rayer turut menggesa Barisan Nasional (BN) dan parti komponennya seperti UMNO, MCA serta MIC yang bekerjasama dengan PN pada pilihan raya Negeri Sembilan supaya mempertimbangkan implikasi kerjasama berkenaan.
Katanya, PN didakwa menjadi ancaman kepada kemajmukan, kepelbagaian serta ketenteraman dan keamanan negara yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama.
"Saya sekali lagi mengutuk dengan sekeras-kerasnya tindakan kerajaan Perikatan Nasional Perlis yang bersifat rasis dan angkuh ini," katanya.
Bagaimanapun, Rayer berkata, sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan dilakukan pihak kuil, kerajaan negeri sepatutnya mengambil pendekatan lebih berhemah bagi menyelesaikan isu berkenaan.
"Jikapun terdapat apa-apa ketidakpatuhan yang dilakukan oleh pihak kuil ini sebagai sebuah kerajaan negeri satu cara atau pendekatan yang lebih berhemah patut diambil untuk menyelesaikan masalah Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi, Kangar, Perlis.
"Tindakan merobohkan kuil tersebut bukanlah satu penyelesaian dan ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati, marah dan kegusaraan di kalangan rakyat Malaysia terutamanya yang beragama Hindu," katanya.
Rayer turut mempersoalkan sama ada PAS dan PN boleh dipercayai untuk melindungi hak masyarakat minoriti termasuk penganut Hindu dan agama lain di negara ini.
"Adakah PAS dan Perikatan Nasional boleh dipercayai untuk melindungi hak rakyat minoriti di negara ini seperti yang beragama Hindu dan lain-lain?" katanya.
Berita berkaitan
August 21, 2026, 11:00 am
SPRM mohon reman bekas CEO Tabung Haji
August 21, 2026, 10:51 am
UiTM henti ambil pelajar antarabangsa Ijazah Sarjana Muda, fokus Bumiputera B40
August 21, 2026, 10:48 am
Jadi lokasi buang bahan binaan dari Singapura, 14 pemilik tanah di Pontian diberi notis
August 21, 2026, 10:07 am
Dua penunggang basikal maut dirempuh kereta di Jalan Persiaran Selatan Putrajaya
August 21, 2026, 9:52 am
Lelaki warga asing didakwa hina Islam di Mahkamah Majistret Johor Bahru
August 21, 2026, 9:51 am
